Anwar Ibrahim berdiri di sebelah gambar Nelson Mandela yang dibesarkan mengikut saiz sebenar. Kredit foto: Facebook
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sering menceritakan butiran perbualannya dengan tokoh-tokoh besar dunia ketika menyampaikan ucapan atau ceramah dalam khalayak ramai.
Antara nama yang selalu disebut beliau ialah ulama terkemuka, Dr. Yusuf al-Qaradawi dan Presiden Turki, Recep Tayyip Erdogan.
Baru-baru ini, Ahli Parlimen Port Dickson itu mendakwa, bekas Presiden Afrika Selatan, Nelson Mandela pernah meminta maaf kerana tidak dapat membantunya semasa beliau dipenjarakan.
Memetik laporan Malaysia Gazette, Anwar menyatakan, Mandela dikatakan berusaha bersungguh-sungguh untuk membebaskan beliau serta cuba mendapatkan rawatan untuknya di Johannesburg.
Anwar menunjukkan gambar beliau bersama Mandela. Kredit foto: Facebook
Anwar berkata, Mandela berkata demikian ketika beliau dan keluarganya dijemput bertemu ikon perjuangan melawan kezaliman rejim aparteid itu di Afrika Selatan selepas dibebaskan dari penjara.
"Beliau sangat emosi ketika itu (tambahan pula) apabila memandang wajah anak-anak saya, beliau tahu betapa beratnya penderitaan yang mampu ditanggung oleh seseorang lelaki tetapi bukan buat anak-anak.
"Beliau meminta maaf. Katanya: "Anwar, saya minta maaf kerana tidak mampu membantu anda."
"Saya kata kepadanya, "relaks, anda sudah lakukan yang terbaik."
"Katanya sebagai seorang Presiden Afrika Selatan, beliau tidak mampu membantu seorang sahabat. Itulah Mandela," katanya ketika berucap dalam program sambutan Hari Antarabangsa Nelson Mandela di Kuala Lumpur pada 18 Julai.
Mandela telah meninggal dunia lebih lima tahun lalu. Kredit foto: Voice of America
Anwar turut mengagumi Mandela sebagai seorang negarawan yang hebat kerana melayannya seperti ahli keluarga sendiri.
Tidak dapat dipastikan sama ada Mandela benar-benar berkata begitu kepada Anwar kerana tiada cara untuk mengesahkan dengan mendiang yang telah meninggal dunia pada 5 Disember 2013. - CARI |