Jika sebelum ini sebuah video menunjukkan amalan zikir sambil berdiri menjadi tular dan bualan hangat di kalangan netizen.
Namun, hasil siasatan terbaharu yang dijalankan bahagian akidah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP) dan juga Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) mendapati ia tidak berkaitan dengan ajaran sesat.
Memetik laporan Harian Metro, hasil siasatan JAIP mendapati ritual itu bukan amalan terpesong seperti mana yang didakwa oleh ramai orang.
Kredit foto: Harian Metro
“Sebenarnya ia adalah kaedah zikir yang menjadi amalan dalam tarekat Ahmadiyaah Idrissiyyah dan tarekat ini adalah aliran diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) sebagai tidak bercanggah dengan akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah dan hukum syarak.
“Saya harap orang ramai tidak cepat menghukum sesuatu sebagai sesat sehinggalah ia benar-benar melanggar batas akidah dan hukum syarak,” kata Kadi Daerah, Syarifuddin Mohamad Sa’ad.
Terdahulu, sebuah video berdurasi satu minit 12 saat didakwa berlaku di sebuah surau dirakam penduduk pada 11 Julai lalu.
Menerusi rakaman itu, jemaah lelaki dan wanita yang sedang berzikir sambil berdiri dan menggoyangkan badan diketuai seorang lelaki dikenali sebagai Tok Ki atau Tok Ayah. - CARI |