Notis jawatan kosong di cawangan Kitschen di Aeon Bukit Tinggi, Klang
Kredit foto: Facebook / Shambavi Shankar
Sebuah kedai pakaian di pusat beli-belah Aeon Bukit Tinggi, Klang dikecam netizen ekoran notis jawatan kosong yang didakwa berunsur diskriminasi perkauman terhadap kaum India.
Notis yang dipaparkan pada cermin peragaan di salah sebuah cawangan Kitschen itu secara jelas menyatakan hanya calon berketurunan Melayu dan Cina berusia 18 tahun ke atas layak memohon.
Seorang pelanggan Kitschen, Shambavi Shankar yang ternampak notis itu seterusnya bersemuka dengan kakitangan kedai terbabit dan bertanya tentang perkara tersebut.
Seperti yang dikongsikan oleh Shambavi melalui laman Facebook miliknya pada 4 Ogos, kakitangan wanita itu menjawab:
"Bukankah lebih baik untuk memaklumkan kepada orang India melalui notis di luar daripada membuang masa mereka, masuk ke dalam dan memohon."
Kredit foto: Facebook / Shambavi Shankar
Netizen yang berang dengan isu itu mahu amalan berunsur diskriminasi perkauman dihentikan di negara ini.
Sebahagian mereka yang merupakan pelanggan Kitschen turut menyatakan tidak akan mengunjungi mana-mana cawangan dalam rangkaian fesyen itu lagi.
Kredit foto: Facebook
Sementara itu, Kitschen melalui satu kenyataan dalam Facebook pada 5 Ogos meminta maaf di atas isu tersebut dan menjelaskan bahawa tindakan akan diambil terhadap pihak terbabit.
"ada masa yang sama, kami ingin memberi jaminan kepada anda bahawa kami tidak akan membiarkan sahaja sikap berunsur diskriminasi itu dan sedang mengkaji semula prosedur operasi standard (SOP) kami yang sedia ada bagi memastikan ia tidak berulang pada masa hadapan," jelas Kitschen.
Kredit foto: Facebook / Kitschen
Terlajak perahu boleh diundur, terlajak kata buruk padahnya. - CARI |