Bukan sahaja cuba melarikan diri selepas terserempak dengan polis, seorang pemandu dilaporkan turut melanggar kenderaan lain di Jalan Tun Razak, semalam.
Harian Metro melaporkan dalam kejadian 12 tengah hari itu, suspek yang memandu Proton Preve melanggar Perodua Viva ketika cuba melarikan diri.
Pun begitu, lelaki itu gagal apabila akhirnya dia ditahan di Lebuhraya Salak berhampiran Taman Connaught.
Kredit foto: Harian Metro
“Peronda MPV mengarahkan suspek untuk memberhentikan kereta tetapi suspek memecut laju.
“Suspek memandu kereta dalam keadaan berbahaya dan melanggar Perodua Viva di Jalan Tun Razak,” kata Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Noor Azmi Yusoff.
Difahamkan lelaki itu berasa panik kerana tidak membawa lesen memandu selain memandu dalam pengaruh dadah.
“Semasa ditahan suspek memberitahu dia panik kerana tidak membawa lesen memandu dan dalam pengaruh dadah.
“Hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek mendapati dia positif amphetemine (AMP),” katanya.
Di samping itu, suspek juga difahamkan mempunyai rekod lampau iaitu memiliki senjata berbahaya selepas semakan dilakukan. - CARI |