Wanita yang mengaku dirinya bergelar 'Datin' dan suaminya 'Datuk' telah menampar pengawal keselamatan dipercayai kerana berang diarah turun ke lobi kediamannya untuk mengambil makanan yang ditempah melalui perkhidmatan penghantar makanan.
Sebelum itu, beliau mengarahkan pengawal keselamatan mengiringi penghantar makanan hingga ke rumahnya, namun petugas warga Nepal itu tidak berbuat demikian kerana itu bukan bidang tugas pengawal keselamatan.
Kredit foto: Sinar Harian
Kejadian berlaku sekitar jam 4.21 petang di sebuah kondominium di Jalan Raja Muda Abdul Aziz, Kuala Lumpur dan telah dirakam kamera litar tertutup (CCTV) lobi kediaman mewah berkenaan sebelum ditularkan di media sosial.
Dalam video berdurasi 39 saat itu, pengawal keselamatan terbabit tidak melawan selepas ditampar, sebaliknya memegang pipinya yang dipercayai sakit akibat tindakan wanita berkenaan.
Peraturan kondominium menetapkan sesiapa yang membuat pesanan makanan atau apa-apa barang perlulah mengambil di lobi kerana orang luar tidak dibenarkan naik ke unit rumah sebagai langkah keselamatan, kata Jawatankuasa Pengurusan Kondominium berkenaan, Hazri Mohd Zahri seperti dipetik dari Sinar Harian.
Hazri berkata, tindakan wanita itu menampar pengawal keselamatan adalah sangat tidak bermoral. Satu laporan polis berkenaan insiden itu akan dibuat. - CARI
|