Melaka adalah salah satu daripada negeri yang paling menarik untuk dikunjungi di Malaysia kerana nilai sejarahnya.
Apa yang lebih membanggakan, negeri itu telahpun diisytihar sebagai Bandar Warisan Dunia oleh UNESCO kerana nilai universalnya.
Bila sebut negeri Melaka, kita mesti dah terbayang Kota A Famosa, The Stadthuys, Jonker Walk dan banyak lagi tempat menarik di sana. Namun, tahukah anda ada lagi tarikan lain di bandaraya bersejarah ini?
Seorang pengguna Twitter telah berkongsi berkenaan Muzium Penjara Malaysia yang terletak di Kampung Bandar Hilir Melaka. Ternyata, ramai yang tidak tahu tentang kewujudan muzium ini walaupun ianya telah dibuka sejak lima tahun lepas.
Dengan bayaran RM3 saja, pengunjung dapat merasai sendiri suasana dalam sel banduan yang mampu memberi kesan psikologi serta erti sebenar kebebasan.
Pengunjung berpeluang melihat sendiri keadaan dalam sel kecil dan sempit yang menempatkan banduan. Dalam sel ini tiada tandas disediakan. Hanya satu besen kecil yang disediakan untuk 'melepas hajat'.
Di bahagian lain muzium, lukisan dan contengan banduan yang pernah ditempatkan di situ turut dipamerkan.
Ruangan pameran lain yang tidak kurang menarik adalah ruang yang menunjukkan perihal hukuman sebat. Pengunjung berpeluang merasai dan memegang sendiri rotan yang digunakan serta boleh melaksanakan 'hukuman' tersebut pada patung yang disediakan.
Bilik hukuman gantung, sel banduan akhir iaitu banduan yang bakal ke tali gantung, sejarah penjara, pakaian banduan, tempat mandi dan juga klinik juga boleh dilawati.
Bilik gantung terdiri daripada dua tingkat di mana tingkat atas merupakan tempat proses hukuman itu dijalankan, manakala tingkat bawah pula adalah tempat bagi memandikan jenazah. Malah, keranda juga ditempatkan di tingkat bawah bilik tersebut.
Selain dibuka untuk lawatan umum, pihak Muzium Penjara Malaysia juga menganjurkan Program Pocket Show ‘Cerita Di Sebalik Tirai Besi’. Ia merupakan satu simulasi kehidupan harian di dalam penjara yang diadakan pada setiap bulan.
Semoga dengan melihat sendiri keadaan sebenar di dalam penjara masyarakat dapat mengambil iktibar sekali gus mengatasi masalah sosial yang kian meruncing. - CARI
|