Usaha selama enam bulan dari dua orang pelajar tahun akhir Diploma Teknologi Elektronik Kolej Vokasional (KV) Bachok membuahkan hasil apabila peranti yang diperkenalkan mereka mendapat perhatian bukan saja dari pensyarah mereka, malah dari warganet di serata negara.
Kredit Foto: Sinar Harian
Dua pelajar yang dimaksudkan, Wan Amiruddin Wan Amran berumur 19 tahun, dan Adeeb Aideen Mat Yusof, juga 19, memperkenalkan rekacipta peranti yang mampu menghidupkan motorsikal hanya dengan imbasan cap jari sebagai projek tahun akhir mereka. Projek tersebut dinamakan Fingerprint Bike Starter, dan motorsikal yang dipasangkan peranti ini hanya akan dihidupkan menerusi padanan cap jari pemilik atau individu yang direkodkan ke dalam sistem saja.
Kredit Foto: Sinar Harian
Wan Amiruddin ketika ditemui oleh pihak Berita Harian pada program Inreach Fair and KV Skills Competition 2019, menyatakan idea mencipta peranti ini datang dari pemerhatian mereka sendiri apabila kes kecurian motorsikal semakin berleluasa. Dia turut menyatakan bahawa sebanyak 127 cap jari boleh dimasukkan dalam sistem pemasangan.
Rakannya, Adeeb Aideen pula menyatakan bahawa rekacipta mereka menggunakan perisian Arduino yang dilengkapi sistem rakaman suara serta paparan kristal cecair (LCD) dan perkakasan elektronik seperti peranti pengimbas jari yang diimport dari luar negara. Kini, mereka telah menerima tempahan daripada rakan pelajar malah pensyarah kolej juga untuk memasang peranti tersebut pada motorsikal mereka, difahamkan bahawa ia memakan masa 12 hari untuk menyiapkan setiap satu pemasangan.
Kredit Foto: Berita Harian Online
Siapa sangka, di usia seawal 19 tahun, mereka berjaya mencipta sebuah peranti yang mampu memudahkan urusan ramai orang di masa akan datang. Sesungguhnya usaha anak muda seperti inilah yang harus kita raikan, kerana dengan sumber dan sokongan yang sewajarnya, pasti mereka akan dapat melangkah ke hadapan dan mencipta pelbagai lagi peranti-peranti yang lebih maju dan memudahkan.- CARI |