Detik dalam rakaman video ketika Anwar Ibrahim menyebut perkataan yang mencetuskan kontroversi kepada Dr. Mahathir Mohamad. Kredit foto: KiniTV
Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak menyebut perkataan 'barua' di hadapan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad selepas sidang media di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya pada 6 Oktober lalu.
Memetik laporan Astro Awani pada 9 Oktober, Ahli Parlimen Port Dickson itu sebaliknya mendakwa beliau sebenarnya menyebut perkataan 'maruah'.
"Ada kontroversi hanya kerana saya menyebut maruah, dan ada yang mengatakan saya sebut barua. Saya takkan sebut perkataan itu (barua) di hadapan Mat Sabu dan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir.
"Namun tidak mengapalah, itulah politik," katanya dalam Persidangan Kepimpinan Apex di Bangsar.
Dr. Mahathir Mohamad bergurau dengan Anwar Ibrahim. Kredit foto: Facebook
Baru-baru ini, tular rakaman video dalam media sosial yang memaparkan Anwar bergurau dengan Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu dengan mengatakan Dr. Mahathir kelihatan lebih bersemangat selepas menghadiri Kongres Maruah Melayu.
Dalam rakaman video tersebut, kedengaran Anwar seperti berkata: "Sejak balik daripada Kongres Maruah ini (Tun Dr. Mahathir) lain macam" sambil diperhatikan oleh Mohamad.
Dr. Mahathir pula kelihatan seperti tidak mempedulikan kata-kata Anwar dan terus mengemaskan meja di hadapannya.
Khairuddin Abu Hassan. Kredit foto: Facebook
Namun, Penyelaras Pakatan Harapan (PH) Parlimen Jasin, Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan mencetuskan kontroversi apabila mendakwa Anwar menyebut 'Kongres Barua' yang dipercayai merujuk kepada Kongres Maruah Melayu.
"Mungkin Anwar kecewa kerana tidak dijemput pada peringkat awal cuma mendapat jemputan di saat-saat akhir," katanya.
Mungkin khidmat pakar forensik audio diperlukan untuk menentukan apakah perkataan sebenar yang disebut oleh Anwar. - CARI |