Penyanyi Ernie Zakri meluahkan rasa kurang senang terhadap segelintir individu yang meninggalkan kata-kata berunsur hinaan terhadap fizikalnya di ruangan komen Instagram.
Baru-baru ini, rakaman video pada malam Konsert Tribute komposer terkenal, arwah Suhaimi Mohd Zain atau dikenali sebagai Pak Ngah menjadi bahan ejekan segelintir netizen yang mengatakan bentuk tubuh Ernie kelihatan berisi.
Lantaran itu, Ernie memuat naik sebuah entri di Instagram Stories bagi meluahkan rasa kesalnya terhadap sikap individu yang tidak beradab.
Kredit foto: IG
Menurut penyanyi yang popular dengan lagu Ku Bersuara itu, perlakuan menjadikan bentuk badan seseorang sebagai bahan gurauan adalah tidak sesuai sama sekali memandangkan ia boleh menjatuhkan maruah dan keyakinan seseorang.
"Ya, saya tidak okey dengan ini, jadi tolong jangan jadikan ia sebagai gurauan kerana sesetengah orang bergelut dengan masalah badan. Terima kasih," tulisnya.
Di samping itu, dia turut bertindak memberi teguran dan peringatan di ruangan komen miliknya.
"Kalian, saya tidak fikir ia sesuai untuk komen gemuk gemuk gemuk di IG orang. Kalau tiada bahasa yang baik, jangan pilih untuk komen," tulisnya lagi.
Pendirian Ernie mengenai isu body shaming disokong rakan duetnya, Syamel yang menyifatkan hinaan itu menyakitkan hati dan keterlaluan.
Kredit foto: IG
Isu body shaming dalam kalangan selebriti bukanlah isu baru, malah turut dialami oleh Datin Almy Nadia yang pernah didakwa terlalu gemuk ketika hamil, apatah lagi para pelawak yang juga sering menjadikan bentuk badan seseorang sebagai bahan lawak. - CARI
|