LONDON: Juara dunia, Lewis Hamilton menyelar 'bintang ternama' yang dikuasai pelumba 'kulit putih' dalam saingan Formula Satu (F1) kerana gagal bersuara bagi menentang isu perkauman yang tercetus di sekitar Amerika Syarikat (AS) ketika ini.
Pemandu Mercedes itu dengan tegas berkata, 'saya tahu siapa kamu dan saya melihat kamu' dengan menuduh rakan pemandunya hanya berdiam diri atas kematian George Floyd - seorang lelaki kulit hitam tanpa bersenjata - ketika ditahan di Minneapolis.
Insiden yang dirakam itu mencetuskan huru-hara di beberapa bandar utama selain turut dikecam atlet ternama seperti Michael Jordan dan Serena Williams.
"Saya lihat kebanyakan kamu mendiamkan diri, ada sesetengahnya adalah bintang ternama namun kamu lebih selesa berdiam diri dalam keadaan ketidakadilan sebegini," kata Hamilton menerusi akaun Instagram miliknya.
"Tidak ada tanda daripada kamu yang berada dalam industri ini dan sudah tentu ini adalah sukan dikuasai kulit putih. Saya adalah satu-satunya yang berlainan warna kulit dan saya berdiri sendirian."
Hamilton yang juara dunia enam kali berkata, dia menyokong bantahan secara aman, bukan yang merbahaya.
Rusuhan di Detroit, Michigan semalam yang menyaksikan beberapa penunjuk perasaan ditahan dan polis menggunakan gas pemedih mata berikutan kematian George Floyd dalam tahanan polis Minneapolis. - Foto AFP
Namun beliau berkata: "Tidak akan ada keamanan sehingga seseorang yang dipanggil ketua melakukan perubahan. Ini bukan saja di Amerika malah di United Kingdom, Sepanyol, Itali dan banyak lagi.
"Cara golongan minoriti dilayan harus berubah, bagaimana didikan kamu di negara kamu mengenai kesamarataan, perkauman kerana kita semua adalah sama!.
"Kita tidak dilahirkan dengan sikap perkauman dan benci di dalam hati. Ia semua adalah sesuatu yang diajar oleh mereka yang kita harapkan."
Pemain bola sepak Perancis, Marcus Thuram dan pemain kebangsaan England, Jadon Sancho masing-masing meminta keadilan buat Floyd selepas menjaringkan gol dalam aksi Bundesliga. - AFP