Kredit foto: Harian Metro
Ramai terjejas dan hilang pekerjaan susulan pandemik Covid-19 sehingga ada yang terpaksa melakukan pelbagai cara semata-mata untuk mencari wang dan bertahan demi kelangsungan hidup selepas kehilangan pekerjaan.
Wan Nur Elisa menawarkan khidmat mengangkat sampah dengan bayaran RM1 selepas kehilangan pekerjaan sebagai pereka tudung khusus buat penduduk di Apartmen Cempaka Sari, Seksyen 9, Bandar Baru Bangi.
Kredit foto: Ihsan Pembaca Facebook
"Saya baru tawarkan khidmat angkat sampah secara sambilan hasil inspirasi rakan saya yang membuat infak tepung pelita ketika Ramadan baru-baru ini.
"Rakan saya mula jual tepung pelita. Apabila ada pelanggan mahu infak dia akan beri kepada orang miskin, kaya, bukan Islam dan Islam.
"Jadi saya terfikir apa salahnya ambil peluang mencari pahala dan rezeki dalam masa sama.
"Sementara sedang mencari pekerjaan, saya terfikir menggunakan kesempatan ini dengan menawarkan khidmat mengutip sampah dari rumah ke rumah.
"Mungkin bayarannya kelihatan murah dan tidak berbaloi namun saya yakin ia mampu membantu orang ramai," katanya kepada Harian Metro.
Kredit foto: meecks.com
Graduan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak itu menawarkan khidmat kepada penghuni di pangsapuri didiaminya itu namun kerjaya ini bersifat sementara sahaja.
"Saya tidak bercadang menjadikan kerja ini sebagai kerjaya tetap. Ia hanya sambilan sementara menunggu peluang pekerjaan," tambahnya lagi yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam bidang seni bina.
Gadis ini berkata, meskipun caj RM1 itu dilihat agak murah, namun dia yakin ia mampu membantu orang ramai.
Menurutnya, perkhidmatan berkenaan bukan untuk mencari duit semata-mata, sebaliknya sebagai usaha bersedekah dengan cara berbeza.
Semoga Nur Elisa memperoleh pahala berganda dan dapat pekerjaan baru kelak. - CARI |