WASHINGTON: Teman wanita anak sulung Presiden Donald Trump disahkan positif COVID-19, lapor media Amerika Syarikat (AS) pada Jumaat.
Bekas personaliti Fox News, Kimberly Guilfoyle, yang bercinta dengan Donald Trump Jr mengunjungi South Dakota untuk menyaksikan ucapan Presiden AS sempena Hari Kemerdekaan dan sambutan bunga api di Mount Rushmore.
Guilfoyle, 51, segera diasingkan selepas disahkan positif virus itu, lapor New York Times.
Ketua kakitangan bagi jawatankuasa kewangan kempen Trump, Sergio Gor, dalam kenyataan berkata, wanita terbabit sihat dan akan menjalani saringan kedua untuk mengesahkan diagnosis kerana tidak bergejala.
"Sebagai langkah berjaga-jaga (dia) akan membatalkan semua rancangan akan datang. Trump Jr disahkan negatif tetapi turut mengambil langkah berjaga-jaga dengan menjalani kuarantin kendiri dan membatalkan semua acara umum," katanya.
Guilfoyle menjadi orang ketiga yang rapat dengan Trump disahkan positif COVID-19 selepas juruparkir valet peribadi dan Setiausaha Akhbar kepada Naib Presiden AS, lapor media negara itu.
COVID-19 kini mengorbankan hampir 130,000 nyawa di AS. - AFP