Ketua Jabatan Pendidikan Perubatan di Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr Harlina Siraj.KUALA LUMPUR: Masyarakat Melayu-Islam perlu mengubah tanggapan mereka berhubung konsep perancangan keluarga selaras dengan peredaran zaman, kata pakar sakit puan.
Pensyarah di Jabatan Pendidikan Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia Dr Harlina Siraj berkata, pasangan perlu merancang keluarga mengikut kemampuan kerana mereka bertanggungjawab menguruskan “rezeki” tersebut.
“Sejak dulu orang menganggap mereka yang merancang keluarga sebagai menafikan rezeki daripada Allah, menolak qada’ dan qadar. Kita tidak boleh terlalu simplistik sebegitu kerana ada banyak hal yang perlu diambil kira.
“Perancangan keluarga perlu dilihat dari kaca mata berlainan. Jika dulu mereka yang merancang dikatakan tidak bertanggungjawab dan menolak rezeki, hari ini kita kena ubah tanggapan. Sebaliknya, mereka yang tidak merancang itulah tidak bertanggungjawab,” katanya yang giat dalam Pertubuhan Ikram Malaysia ketika dihubungi FMT.
Beliau berkata, banyak kajian menunjukkan anak yang dilahirkan dalam keadaan “dirancang, ditunggu-tunggu dan dialu-alukan” memiliki pencapaian serta masa depan lebih cerah berbanding anak “tanpa rancangan dan kebetulan”.
Terdahulu, badan pemikir Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) menyifatkan langkah kerajaan Terengganu menawarkan insentif bagi meningkatkan kadar kelahiran di negeri itu boleh menggalakkan pasangan kurang berkemampuan menambah anak, seterusnya membawa kepada kitaran kemiskinan.
Kenyataan itu disanggah Perkasa dengan berkata tiada bukti anak yang lahir daripada keluarga miskin ketinggalan dalam kehidupan dan mengingatkan ia sebagai “rezeki daripada Allah”.
“Tentulah setiap pasangan (yang boleh melahirkan zuriat) berhak menentukan jumlah anak mereka. Tiada siapa boleh paksa, tetapi masing-masing perlu ukur baju di badan sendiri,” kata Dr Harlina.
Beliau memetik 5 kriteria digariskan ilmuan Dr Abdel Rahim Omran, dalam bukunya “Family Planning in the Legacy of Islam” yang diterbitkan pada 1992, untuk pasangan yang ingin menambah anak.
Menurutnya, 5 kriteria itu adalah keupayaan fizikal, keupayaan ekonomi, kesediaan emosi dan keluangan masa terutama bagi ibu, serta sokongan sosial.
“Keupayaan ekonomi adalah perkara penting dan diakui sebagai faktor penentu. Begitu juga dengan faktor lain, setiap pasangan ada kemampuan berbeza,” katanya lagi.
Menurut Jawatankuasa Fatwa Al-Azhar pada 1988, perancangan keluarga tidak bercanggah dengan Islam dan setiap individu boleh memutuskannya berdasarkan keadaan masing-masing, selagi tidak melanggar ajaran agama.
Pada 12 Disember lalu, Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Razif Abdul Rahman berkata kempen menambah kelahiran diteruskan dengan sasaran 25,000 kelahiran setahun, berbanding kadar sekarang iaitu 20,000.
Kerajaan negeri menawarkan sumbangan berjumlah RM100 bagi kelahiran pertama, RM200 bagi kelahiran ke-2 hingga ke-7 dan RM500 bagi kelahiran ke-8 dan seterusnya, dengan sumbangan disalurkan terus ke dalam skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).
Kerajaan negeri juga akan berusaha menambah jumlah taska bagi menempatkan anak ketika ibu bapa bekerja.
Mengulas perkara itu, Dr Harlina tidak membantah usaha itu tetapi menegaskan langkah menambah populasi tidak boleh berasaskan aspek demografi semata-mata.
“Baguslah jika insentif itu disalurkan terus kepada SSPN-1 dan bukan seperti BR1M, dan saya tidak rasa pasangan akan menambah anak hanya untuk mendapatkan insentif itu.
“Tetapi lebih baik jika kerajaan negeri menggunakan peruntukan itu untuk mewujudkan struktur sokongan khususnya buat ibu bekerjaya. Masalah utama mereka adalah tiadanya sistem sokongan jagaan anak yang bermutu tinggi,” katanya lagi sambil mengakui ramai wanita terpaksa meninggalkan kerjaya selepas mendapat anak.
Menurut statistik 2014 dan 2015 Jabatan Perangkaan Negara, Terengganu menjadi negeri dengan kadar kelahiran ke-2 tertinggi selepas Putrajaya, dengan 23.8 kelahiran (2015) dan 23.7 kelahiran (2014) bagi setiap 1,000 penduduk.