KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang lelaki tempatan dipercayai menguruskan kemasukan pendatang warga Indonesia.
Pasukan Gerakan Am (PGA) menangkap lelaki berusia 32 tahun itu di Bagan, Sekinchan, bersama tiga lelaki warga Indonesia, berusia antara 31 hingga 38 tahun dipercayai tekong laut.
Dalam operasi itu, Pegawai Pemerintah Batalion 4 PGA, Superintendan Zulafendy Hassan, berkata polis juga menahan dua pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia berusia 23 dan 34 tahun.
Katanya, suspek warga tempatan terbabit dipercayai membawa masuk PATI ke negara ini bersama tekong laut warga Indonesia dengan menggunakan bot nelayan.
"Dalam Operasi Benteng COVID-19, polis turut merampas sebuah bot pukat tunda kelas B bersama enjin 420 kuasa kuda berserta dua buah pukat tunda; satu unit GPS Plotter; satu telefon bimbit; satu set walkie talkie dan wang tunai mata wang Indonesia berjumlah Rp1,200,000 (RM360).
"Anggaran keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM667,400," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, tahanan disiasat mengikut Akta AntiPemerdagangan Orang dan AntiPenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 dan Akta Imigresen 1963.