"Cerita kehidupan saya di YouTube ditonton ratus ribu, tapi saya tak dapat apa-apa pun."
Itu luahan penyanyi Shima berkenaan kisahnya yang dijadikan bahan pelaris untuk menarik peminat di YouTube. Video nyanyiannya, ketika menyertai pertandingan dan sebagainya dimuat naik di banyak saluran YouTube. Menurut Shima, dia berasa ralat apabila ada pihak tertentu membuat duit dengan menggunakan namanya.
Shima atau nama sebenarnya, Ku Nazhatul Shima Ku Kamarazzaman, 51, bercerita kepada Harian Metro bahawa dia tidak mendapat manfaat dari penyiaran kembali video tersebut kecuali ada seorang Youtuber yang telah menyumbang wang kepadanya.
"Dalam ramai-ramai, ada seorang YouTuber yang baik hati menyumbang wang sebanyak RM300 kepada saya dan saya amat berterima kasih."
Tidak mahu perkara ini berlarutan, penyanyi lagu Teringin dan Setelah Aku Kau Miliki ini akhirnya mewujudkan saluran YouTube sendiri iaitu Shima Official yang dilancarkan pada 3 Julai lalu. Ianya dimaklumkan di Facebook dan mendapat sambutan daripada para peminatnya.
Kredit foto : FB
Bagi Shima, dia tidak meletakkan harapan tinggi pada saluran Youtubenya, cuma ia dibuat sebagai bahan sejarah perjalanan seninya yang bermula daripada Shima & The Boys sehinggalah bergelar penyanyi solo.
"Saya tak terlalu meletakkan harapan untuk menarik golongan peminat muda berbanding artis generasi sekarang. Jika rasa berminat nak tahu sejarah saya, silalah langgan (saluran) YouTube ini."
Kredit foto : Youtube
Terdahulu, kisah kehidupan Shima menjadi tular akibat menderita sakit saraf serta sakit belakang mengakibatkan dia tidak dapat bergerak cergas dan bekerja.
Selain itu, dia juga mengalami sakit lemah pundi kencing dan perlu menggunakan lampin pakai buang untuk mengatasi masalah itu.
Terbaharu, Shima dikategorikan sebagai golongan asnaf oleh pegawai Lembaga Zakat Selangor (LZS) pada Julai tahun lalu.
"Selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memang belum ada lagi sebarang tawaran menyanyi. Saya masih lagi menjalani rawatan untuk sakit seperti biasa. Syukurlah kerana ada bantuan daripada LZS."
Kredit foto : FB
Jadi, bagi yang pernah membesar bersama lagu Teringin, Setelah Aku Kau Miliki dan lain-lain harus menyokong Shima ya. - CARI
|