Tertuduh, Samirah Muzaffar - Kredit foto : The Star
"Saya melihad jasad mangsa dalam keadaan terbaring dan nampak ada kesan terbakar di bahagian kepala dan badan. Saya lihat badan mangsa juga lebih kepada terkena haba yang mana bukan kesan kebakaran tetapi kesan kepanasan. Kesan ini berlaku apabila mangsa tidak beralih (bergerak) ke tempat lain daripada punca api."
Dr Nur Shafaradila Shamsul Anuar, saksi pendakwaan ke-26 yang juga pegawai perubatan di Hospital Sungai Buloh berkata demikian ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam berhubung kes kematian Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Cradle Fund, Nazrin Hassan.
Katanya, dia tiba di tempat kejadian jam 1.12 tengah hari pada 14 Jun 2018 dan setelah pemeriksaan lanjut dibuat, beliau mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia sekitar jam 1.13 tengah hari.
"Saya membuat pemeriksaan nadi di kawasan leher kanan dan tangan sebelah kanan mangsa.
"Saya dapati tiada denyutan nadi dan saya sendiri sahkan mangsa sudah meninggal kira-kira 1.13 petang," katanya ketika menjawab pertanyaan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Rohaida Che Hamid berhubung keadaan mayat Nazrin seperti dipetik dari Bernama.
Ketika ditanya bagaimana reaksi tertuduh pertama, Samirah Muzaffar iaitu isteri mangsa ketika dimaklumkan kematian mengenai kematiannya, Dr Nur Shafaradila berkata Samirah tidak menunjukkan sebarang reaksi, sama ada terkejut ataupun sedih.
"Berdasarkan pengalaman saya, mereka yang kehilangan ahli keluarga terutamanya suami atau isteri akan terkejut dan sedih apabila kejadian seperti itu berlaku. Tetapi, saya tidak nampak apa-apa reaksi pada isteri mangsa (Samirah)," katanya. - CARI |