Mengharukan, sebuah video yang menunjukkan seorang wanita menggadaikan rantai perkahwinan demi memastikan anaknya tidak ketinggalan dalam pelajaran di Hubbali, India tular di media sosial hingga mendapat banyak perhatian.
The Times of India melaporkan wanita itu dari kampung Radder Naganur menggadaikan rantai terbabit untuk membeli set televisyen bagi membolehkan anaknya mendapat akses pembelajaran atas talian untuk kedua-dua anaknya di tahun 8 dan 7.
Kredit foto: Times of India
Kasturi Chalwadi berkata, dia mengambil tindakan itu selepas dua anaknya ketinggalan dalam pelajaran.
"Anak saya ke rumah jiran untuk menonton televisyen program pelajaran, tapi tidak setiap masa. Selepas siaran kelas di saluran Chandana, guru hubungi anak dan berikan soalan untuk menilai pemahaman mereka."
Foto : Times Of India
Katanya, dia memperoleh 20,000 rupee (kira-kira RM1,132) hasil gadaian rantai perkahwinan dari seorang broker sebelum membeli televisyen 32 inci berharga 16,000 rupee.
"Suami saya Muttappa bekerja dengan gaji harian. Saya tiada pilihan kerana perintah berkurung menyebabkan kami mengalami krisis kewangan."
Kisah pengorbanan wanita itu tular dan meraih perhatian pelbagai pihak tampil menyumbang kepada keluarga berkenaan. Malahan, broker gadaian barangan kemas turut memulangkan semula rantai wanita itu.
Di sebalik kisah sensasi mengenai penganiayaan terhadap wanita, pastinya kisah sebegini membuka mata mengenai kisah pengorbanan dan kasih sayang terhadap ilmu dan keluarga.- CARI
|