BANTING: Seramai 135 pelajar perempuan Mahaad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS) Kuala Langat, Jalan Istana Lama, Kampung Bandar Banting, di sini terselamat dalam kebakaran asrama yang dihuni mereka, pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Hafisham Mohd, berkata bomba yang menerima panggilan pada jam 5.49 pagi itu tiba di lokasi pada jam 6.05 pagi.
"Sebaik tiba di lokasi, bomba mendapati kebakaran membabitkan sebuah asrama Tahfiz wanita (bangunan kelas A).
"Bangunan empat tingkat dengan keluasan 30X100 kaki itu musnah terbakar sebanyak 40 peratus di tingkat empat.
"Kesemua penghuni asrama itu seramai 131 terselamat," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hafisham berkata, kebakaran terbabit berjaya dikawal pada jam 6.24 pagi.
Katanya, operasi itu membabitkan 27 pegawai dan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Banting, BBP Telok Panglima Garang, BBP KLIA, BBP Pelabuhan Klang, BBP Seksyen 7.
Beliau berkata, punca kejadian masih dalam siasatan.