KUALA SELANGOR: Lokasi terpencil parit utama Kampung Teluk Penyamun di sini, dikesan menjadi lokasi pembuangan organ dalaman lembu hingga mencemar saliran itu dan mencetuskan bau busuk.
Perbuatan tidak bertanggungjawab itu, menyebabkan kira-kira 50 penduduk kampung itu hidup dalam keadaan tidak selesa kerana terpaksa menghidu bau busuk yang merebak sehingga sejauh satu kilometer.
Sisa buangan itu juga menyebabkan air parit terbabit bertukar hitam serta berbau busuk.
Seorang penduduk, Muhammad Asraff Sapian, 26, berkata masalah itu berlaku sejak beberapa hari lalu hingga menyebabkan kehidupan mereka terganggu.
"Kami sudah tidak tahan dengan bau busuk yang datang dari bahan buangan itu terutama pada waktu panas.
"Tambahan pula, ada sebahagian guni itu pecah kerana lama terendam dalam air hingga menyebabkan sisa buangan terkeluar.
"Sudahlah parit itu merupakan parit utama, pihak tidak bertanggungjawab pula ambil kesempatan buang bahan buangan mereka di sini," katanya ketika ditemui, hari ini.
Asraff mendakwa, kegiatan membuang sisa itu dilakukan pada waktu malam berikutan keadaan sekitar yang gelap dan memudahkan pihak terbabit melakukan kegiatan mereka.
Beliau berharap masalah itu diatasi pihak berwajib dengan mengambil tindakan tegas kerana ia menyebabkan masalah kepada penduduk.
Dalam pada itu, tular di media sosial gambar puluhan guni sisa organ dalaman lembu yang terapung di parit utama kampung berkenaan.
Rata-rata netizen mengecam tindakan pihak tidak bertanggungjawab itu dan menuntut pihak berkuasa mengambil tindakan sewajarnya.