CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1847|Reply: 0

Inisiatif Saluran Khas China diteruskan - MITI

[Copy link]
Post time 24-9-2020 10:06 AM | Show all posts |Read mode
Inisiatif Saluran Khas China diteruskan - MITI

Inisiatif Saluran Khas China (CSC) diteruskan dan akan diterajui oleh Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sebagai pusat sehenti dan agensi promosi pelaburan utama Malaysia.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) berkata ini selaras dengan mandat dan peranan utama MIDA sebagai agensi mempromosikan pelaburan dan menyelaras strategi promosi dengan agensi-agensi yang terlibat termasuk InvestKL.

Katanya langkah itu amat penting untuk memberi mesej yang jelas tanpa menimbulkan kekeliruan dalam kalangan pelabur asing termasuk dari China.

"Keputusan ini juga amat bertepatan dengan peranan MIDA sebagai sekretariat kepada Jawatankuasa Nasional Mengenai Pelaburan (NCI) yang bertanggungjawab untuk mempercepatkan proses kelulusan projek pelaburan yang berkualiti tinggi," menurut kementerian itu dalam jawapan bertulis pada persidangan Dewan Rakyat, pada Khamis.

Ia bagi menjawab soalan daripada Dr Ong Kian Ming (DAP-Bangi) yang ingin tahu sama ada inisiatif ini akan diteruskan dan apakah strategi baharu yang sedang dirancang untuk terus menarik pelaburan berkualiti dari China ke Malaysia.

MITI berkata pelaksanaan CSC dijangka akan lebih efektif memandangkan MIDA menyediakan ekosistem industri yang menyeluruh di Malaysia dan memberikan fasilitasi berterusan kepada para pelabur.

Katanya biarpun berdepan dengan pandemik COVID-19 dan ketidaktentuan ekonomi global, Malaysia masih dilihat oleh pelabur asing termasuk dari China, sebagai destinasi pelaburan utama yang berdaya saing di rantau ini.

Malah, China merupakan sumber pelaburan langsung asing terbesar dalam sektor perkilangan sejak 2016.
Bagi tempoh 2016-2019, projek-projek pelaburan dalam sektor perkilangan yang diluluskan dari China berjumlah RM40.26 bilion dan menyediakan 40,527 peluang pekerjaan.

Sehingga 31 Mei 2020, MIDA telah memberikan khidmat fasilitasi kepada 86 syarikat dari China dan negara-negara lain yang berminat untuk menempatkan operasi di Malaysia.

Daripada jumlah itu, MIDA telah berjaya menarik sebanyak 32 projek dengan pelaburan berjumlah RM17.5 bilion, dengan 28 projek berjumlah RM8.36 bilion telah diluluskan dan empat projek dengan nilai pelaburan sebanyak RM9.14 bilion sedang dinilai.

MITI berkata antara strategi yang dilaksanakan oleh MIDA dalam menarik pelaburan berkualiti dari China termasuklah menubuhkan MIDA China Team yang terdiri daripada tiga pejabat luar negara iaitu di Beijing, Shanghai dan Guangzhou serta 'China Desk' di ibu pejabat MIDA.

MIDA turut memanfaatkan peluang pelaburan daripada dasar China iaitu Inisiatif Jalur dan Laluan (BRI) melalui pembinaan taman perindustrian, hab logistik dan Transit Oriented Developments (TOD) serta menyasarkan syarikat-syarikat China yang terlibat dalam sektor teknologi dan tersenarai dalam Fortune China 500 serta Global Unicorns.

Inisiatif lain seperti menyasarkan 10 sektor keutamaan di bawah dasar 'Made in China 2025' termasuk mesin automatik dan robotik, aeroangkasa dan aeronautik, biopharma dan peralatan perubatan teknologi maklumat canggih, bahan baharu dan kenderaan serta peralatan tenaga baharu.

MIDA turut memastikan kelancaran pelaksanaan dan operasi projek-projek pelaburan dari negara China melalui Unit Penyelarasan dan Pemecutan Projek (PACU) serta menawarkan bantuan melalui rundingan terus dan kerjasama dengan pihak berkuasa yang berkenaan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Ia turut memberikan lanjutan tempoh pelaksanaan projek bagi sektor perkilangan selama 12 bulan tambahan secara automatik, selepas syarikat telah mendapat kelulusan interim atau Lesen Pengilang serta melaksanakan e-Manufacturing License (e-ML) yang membolehkan syarikat mengemukakan permohonan untuk projek baharu secara dalam talian.

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

16-4-2024 08:16 PM GMT+8 , Processed in 0.102148 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list