Kredit foto : Nona, IG amyabdaziz
"Dia amat bertuah kerana ramai yang menyayanginya."
CEO Finas, Dr Ahmad Idham, 46, dan isteri, Jameah 'Amy Aziz' berkahwin pada 1999 dan dikurniakan empat cahaya mata iaitu Ahmad Firdaus, 20, Ahmad Aydeel, 16, Kintan Myra, 14, dan Ahmad Khalif, 10.
Dugaan besar buat pasangan ini apabila anak sulung mereka, Ahmad Firdaus diserang sawan seawal usia dua tahun dan doktor mengesahkan dia mengalami 'focal encephelitis' yang menyukarkan dirinya untuk berjalan dan bertutur.
Menerusi perkongsian isteri Ahmad Idham, Amy Aziz di dalam nona.my, mereka menerima banyak sokongan moral daripada keluarga dan teman-teman rapat.
"Alhamdulillah, hingga ke hari ini anak istimewa kamitidak pernah lagi dikecam atau dihina dengan keadaannya itu, dia sangat bertuah kerana ramai yang menyayanginya.
"Kami sentiasa memberikan yang terbaik buat dirinya seperti anak-anak lain. Sebagai ibu, saya sentiasa ada untuk Ahmad Firdaus. Sekurang-kurangnya, bila kami sudah tiada nanti, kami dah tinggalkanya dalam keadaan selamat dan pandai berdikari.
"Ahmad Firdaus seorang yang sangat aktif dan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan apa yang dia mahu. Semua perkara dianggap penting baginya. Sehinggakan saya sering bercakap pada diri sendiri dan anak-anak yang lain, 'if only abang is normal, I am sure he would be the smartest among all'," katanya.
Amy turut berkata, anak-anak lain memang rapat dengan anak sulungnya itu kerana sejak kecil mereka dididik untuk saling menghormati, prihatin dan tidak memandang rendah kepada orang lain.
"Tidak semua bertuah dikurniakan anak istimewa seperti keluarga kami," tuturnya.
Sebagai ibu, dia melayan anak-anaknya seperti sahabat termasuk berkongsi cerita, pendapat serta masalah dan selalunya mereka lebih selesa berkongsi masalah atau meluahkan perasaan kepadanya. Jika ada sebarang masalah berkaitan anak-anak, Amy berkata dia akan 'update' kepada suaminya.
Kini pada usia 20 tahun, Ahmad Firdaus telah menunjukkan banyak perubahan positif pada dirinya seperti pandai berdikari, lebih berani dan yakin.
"Setiap perkembangan walau sedikit tetap menjadi kebanggaan kami. Hanya ibu bapa yang memiliki anak istimewa saja faham keadaan seperti ini."
Ahamd Firdaus & Eden Firdaus School - Kredit foto : Nona, IG amyabdaziz
Pada 2016, Ahmad Idham dan Amy telah menubuhkan sebuah sekolah pendidikan khas dan terapi buat anak-anak OKU yang diberi nama Eden Firdaus School. Idea ini tercetus selepas melihat perkembangan positif Ahmad Firdaus setelah dua tahun ditempatkan di Saint Claire, Singapura pada 2014, ditambah dengan pengalaman Amy yang hampir dua puluh tahun mengendalikan pusat jagaan dan pendidikan kanak-kanak.
Kredit foto : Nona, IG amyabdaziz
Menurut Amy, sekolah ini juga merupakan harta serta bekalan masa depan buat Ahmad Firdaus untuk dia membina kehidupannya sendiri andai kedua ibu bapanya sudah tiada kelak. - CARI |