Konsep lebih semula jadi dengan penggunaan kayu dan elemen alam. - FOTO Google
Nurul Husna Mahmud
[email protected]
SELAIN bunga berpasu, lilin hiasan antara aksesori boleh menjadi penyeri meja makan atau meja kopi.
Bagi kediaman yang memilih tema Eropah, seperti gaya rumah ladang, gaya klasik dan industrial, konsep lilin boleh menjadi pelengkap.
Kini reka bentuk lilin juga sudah dipelbagaikan, malah ada menggunakannya sebagai aroma dalam bilik untuk memberi mood menenangkan.
Kebelakangan ini, ramai lebih suka melengkapkan lilin dengan pelbagai kemasan, termasuk perincian di alas dulang kayu mahupun penataan semudah diikat dengan reben.
Berikut antara idea boleh digunakan pembaca untuk menjadikan lilin sebagai aksesori yang lebih menarik dan sepadan dengan hiasan ruang rumah anda.
Lilin dan cekak kain atau jenis benang kait dan butang
Bagi yang gemarkan gaya klasik Inggeris, idea menggabungkan cekak kepala kain dengan butang antara gaya yang cukup klasik.
Untuk gabungkan cuma perlu lekatkan lilin dan aksesori butang disarung atau dililit pada sekeliling lilin.
Lilin bersama rempah ratus dan dulang kayu
Bagi mereka sukakan gaya Bali, konsep menggabungkan lilin di atas dulang kayu bersama rempah ratus antara idea unik untuk meja sajian makanan.
Mudah saja, anda boleh cari dulang dan papan kayu leper atau sedikit melengkung. Rapikan dengan pelbagai rempah seperti kulit kayu manis, bunga lawang dan bunga cengkih.
Untuk serikan lagi, kelopak bunga antara yang boleh digunakan pemilik kediaman.
Lilin bersama bekas aloi dan benang guni
Mahu nampak sederhana dan ringkas, letakkan lilin dalam bekas logam dengan sedikit lilitan benang guni atau tali jut sekali gus memberikan konsep lebih eksotik.
Konsep ini sesuai untuk meja konsol atau meja kopi lebih kepada gaya industrial.
|