![](https://img-s-msn-com.akamaized.net/tenant/amp/entityid/BB1cA5g8.img?h=724&w=1119&m=6&q=60&o=f&l=f&x=563&y=156)
Messi (kiri) dan Ronaldo dilabel pemain terbaik sepanjang zaman. FOTO Agensi
London: Lionel Messi kini menduduki tangga ke-97 pemain paling bernilai di dunia dan lebih mengejutkan Cristiano Ronaldo menduduki tangga ke-131.
Malah kedua-duanya yang digelar pemain terbaik sepanjang zaman itu tewas kepada pemain muda Manchester United, Daniel James yang menduduki tempat ke-75.
Ia adalah dapatan terbaharu kajian oleh CIES Football Observatory yang mengambil kira beberapa faktor termasuk prestasi, usia, kontrak serta penampilan bersama kelab dan negara dalam proses menilai satu-satu pemain itu.
Dapatan mereka menunjukkan penyerang Manchester United, Marcus Rashford dilabel sebagai pemain paling bernilai mengetepikan Erling Haaland dan Trent Alexander-Arnold.
Bruno Fernandes, Kylian Mbappe dan Jadon Sancho juga menduduki kelompok antara pemain paling bernilai.
Bagaimanapun tumpuan pastinya terarah kepada Messi dan Ronaldo yang di sebalik nama gah mereka, kedua-duanya menduduki senarai bawahan.
Seramai 10 pemain Red Devils di depan kedua-dua bintang itu. Mereka termasuklah Rashford, Fernandes, Mason Greenwood, Anthony Martial, Aaron Wan-Bissaka, Donny van de Beek, James, Harry Maguire, Scott McTominay dan Victor Lindelof.
Malah jumlah 10 pemain United itu yang menduduki kelompok 100 pemain paling bernilai adalah melebihi mana-mana kelab termasuklah gergasi Sepanyol, Barcelona. |