![](https://img-s-msn-com.akamaized.net/tenant/amp/entityid/BB1cESpk.img?h=746&w=1119&m=6&q=60&o=f&l=f&x=767&y=203)
Pengendali KCFC, Irfan Bakti Abu Salim. - Foto ihsan semuanya bola.
Malik Muhamad
[email protected]
KUALA TERENGGANU: Peminat pasukan Kuching City FC (KCFC), bakal disajikan gaya permainan bola sepak samba apabila skuad itu mengikat tiga pemain import kelahiran Brazil bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Pengendalinya, Irfan Bakti Abu Salim berkata, tiga import itu termasuk bekas pertahanan pasukan Kelantan, Aylton Alemao selain dua pemain musim lalu yang dikekalkan iaitu Hudson Dias dan Leonardo Alves.
Bekas jurulatih Terengganu FC (TFC) itu berkata, melengkapkan kuota tonggak import pasukannya adalah pemain kelahiran Jepun, Yuta Suzuki yang beraksi di posisi tengah.
"Kami percaya empat tonggak import itu mampu menjadi nadi kekuatan pasukan dalam saingan Liga Perdana yang bakal berlangsung akhir bulan depan.
"Selain itu, majoriti pemain kelahiran Sarawak diketuai kapten, Joseph Kallang Tie turut diletakkan harapan yang tinggi untuk bersaing dalam kancah liga," katanya.
Musim lalu skuad KCFC yang dibimbing jurulatih kelahiran Jepun, Akira Higashiyama berjaya menduduki tempat keempat Liga Perdana walaupun musim pertama dalam saingan divisyen dua itu.
Mengulas lanjut, Irfan yang pernah membantu TFC muncul naib juara Piala Malaysia pada 2018 menyasarkan untuk meraih sekurang-kurangnya dua tempat teratas liga. |