COVID-19: Wilayah Heilongjiang isytihar perintah darurat
Januari 13, 2021 @ 1:21pm
Sebuah kenderaan dilarang keluar dari daerah Ang’angxi susulan langkah wilayah Heilongjiang mengisytiharkan perintah darurat. - FOTO AFP
BEIJING: Sebuah wilayah China yang memiliki lebih 37 juta penduduk, mengisytiharkan perintah darurat, hari ini, bagi mengekang jangkitan COVID-19 yang kian meningkat. Susulan itu, kerajaan Heilongjiang mengarahkan 37.5 juta penduduknya tidak meninggalkan wilayah terbabit kecuali benar-benar perlu, selain membatalkan acara perhimpunan dan persidangan.
Langkah itu diambil sebagai tindak balas selepas 28 jangkitan COVID-19 dikesan, hari ini, termasuk 12 kes tidak bergejala. Tiga jangkitan terbabit dikesan di ibu kota wilayah itu, Harbin yang menjadi tuan rumah festival arca ais yang lazimnya menarik kunjungan ramai pelancong.
Bandar Suihua yang memiliki lebih 5.2 juta penduduk pula ditutup pada Isnin lalu selepas melaporkan satu jangkitan disahkan dan 45 kes tidak bergejala. Beberapa bandar kecil berdekatan Suihua juga ditutup atau dikenakan sekatan perjalanan, kata pihak berkuasa, hari ini.
Walaupun angka jangkitan adalah lebih kecil berbanding banyak negara lain, ketika ini, China berusaha mengekang penularan COVID-19 menjelang sambutan Tahun Baharu Cina pada bulan depan di mana ratusan juta penduduk dijangka melakukan perjalanan di seluruh negara. - AFP
|