Bantu rakyat, berhenti berkonflik isu kuasa - Pemuda UMNO
Oleh Mohd Nasaruddin Parzi - Januari 16, 2021 @ 2:36pmbhnews@bh.com.my
UMNO perlu kembali kepada landasan tradisinya membantu rakyat - Asyraf Wajdi. FOTO NSTP
KUALA LUMPUR: Pemuda UMNO menggesa pemimpin parti itu mengenepikan seketika hiruk pikuk politik serta berpolemik mengenai kuasa dan kedudukan ketika ini.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata pemimpin UMNO sepatutnya memberi tumpuan kepada usaha membela rakyat dan membantu mereka yang terkesan akibat pandemik COVID-19, darurat dan musibah banjir.
"Natijah pandemik kepada ekonomi semakin terasa hinggakan pelaburan makin menguncup dan kadar pengangguran kian meningkat, turut menyebabkan rakyat makin susah, resah dan gelisah memikirkan soal kelangsungan hidup mereka.
"Di tengah-tengah krisis pandemik dan keperitan rakyat ini, sudah tentu polemik politik sama ada dalaman parti dan antara parti adalah perkara terakhir yang rakyat mahu terjebak atau terheret.
Pemuda UMNO berpendirian, UMNO harus kembali kepada landasan asal dengan menjadikan mantra 'tradisi membela rakyat' sebagai teras perjuangannya ketika ini," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Asyraf Wajid berkata, apa yang perlu dilakukan pemimpin UMNO ketika ini sama ada di dalam atau di luar pentadbiran kerajaan adalah menuntut bagi pihak rakyat perkara yang menyentuh kebajikan mereka.
Katanya, ia termasuk menuntut dipermudahkan urusan pengeluaran i-Sinar Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) tanpa syarat dan kriteria, lanjutan moratorium tanpa syarat serta tidak dikenakan penalti atau caj tambahan.
Beliau berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kali ini berbeza dengan PKP dilaksanakan pada Mac tahun lalu kerana ia berserta proklamasi darurat.
"Rakyat terpaksa menghadapinya tanpa moratorium automatik, tanpa bantuan tunai yang besar, tanpa insentif gaji pekerja dan ditambah dengan bencana alam di beberapa negeri. "Semua ini akan memberi kesan kepada moral dan keyakinan rakyat dalam menghitung hari-hari mendatang," katanya.
|