Kredit : Tangkap Layar video Youtube
Baru-baru ini, satu pengumuman oleh kerajaan China telah menarik perhatian dunia apabila mahu menjalankan ujian calitan (swab test) di dubur sebagai kaedah baru bagi mengesan individu dijangkiti COVID-19.
Menurut laporan, pihak berkuasa menggunakan kaedah itu ke atas penduduk kawasan yang disahkan terdapat kes positif virus terbabit di zon merah, selain melaksanakan proses sama ke atas individu yang ditempatkan di pusat kuarantin.
Doktor kanan di Hospital You'an Beijing, Li Tongzeng, memberitahu swab test di dubur adalah lebih tepat kerana virus berkenaan bertahan lebih lama di dubur berbanding saluran pernafasan.
"Sudah tentu, calitan dubur tidak semudah swab test tekak maka ia hanya digunakan terhadap individu di kawasan kuarantin utama.
"Kaedah ini juga membantu mengurangkan hasil ujian positif palsu," katanya.
Kaedah calitan ini membuatkan ramai mula risau, malu dan tertanya-tanya tentang kesan sampingan selepas menjalani ujian calitan tersebut.
Memetik Odisi, tular satu video orang ramai yang menjalani ujian berkenaan berjalan terkedek-kedek setelah keluar dari premis kesihatan.
Dikatakan, klip video terbabit dirakam di bandar Shijiazhuang dalam wilayah Hebei, utara China.
Video berkenaan menjadi tular sehingga mencatat berjuta-juta tontonan di pelbagai platform media sosial di China.
Menerusi akhbar tempatan, Global Times melaporkan bahawa video tular itu sebenarnya telah disunting, manakala pihak berkuasa memberi jaminan orang ramai tidak akan berjalan seperti penguin selepas menjalani calitan dubur.
Difahamkan spesimen yang diambil di lokasi terbabit pula hanya melibatkan kaedah calitan oral atau hidung sahaja.
Susulan video tular itu, pihak berkuasa telah mengambil tindakan menurunkannya bagi mengelakkan salah faham orang ramai.
Dalam pada itu, pengguna media sosial Weibo memberikan pelbagai reaksi terhadap isu tersebut.
"Saya sudah menjalani dua calitan dubur, setiap kali saya lakukannya, ia diteruskan dengan calitan di tekak pula. Saya bimbang jururawat yang melakukannya terlupa untuk menggunakan kayu calitan baharu," kata seorang pengguna Weibo.
Seorang lagi pengguna secara berseloroh berkata, "Tidak berbahaya, tetapi amat memalukan."
Tidak semua pakar di China bersetuju dengan kaedah ujian calitan di dubur untuk menguji jangkitan COVID-19.
Yang Zhanqiu, pakar patologi di Universiti Wuhan, berkata bahawa ujian calitan dalam rongga hidung dan tekak adalah kaedah paling berkesan untuk mengumpulkan sampel ujian virus itu buat masa ini.
Untuk info, China merupakan salah satu negara yang telah berjaya mengawal peningkatan penularan COVID-19 sejak pertengahan tahun 2020 namun peningkatan 2 ribu kes baru telah dilaporkan sepanjang Januari 2021 melibatkan penularan tempatan. - CARI |