|
Edited by follesegal at 15-2-2021 09:36 AM
PENGALAMAN berbelas tahun sebagai pelakon tidak dapat menyediakan Bunga Citra Lestari untuk menghadapi kehilangan paling besar dalam hidupnya.
Dalam pendedahan eksklusif di saluran YouTube miliknya, Bunga memaklumkan dia menerima pemergian secara tiba-tiba suaminya, Ashraf Sinclair, namun seperti manusia biasa yang lain, masih ada sebahagian daripada dirinya yang berharap apa yang terjadi hanya sekadar mimpi buruk.
"Saat dia pergi, saya sudah dapat menerima yang suami saya sudah tiada. Tetapi entah kenapa saya masih berharap saya cuma bermimpi buruk.
"Bertahun saya menjadi pelakon, saya sudah biasa menyerap emosi kehilangan seperti yang dikehendaki pengarah. Nyata ia tidak mampu membuat saya bersedia menghadapi kehilangan yang sebenar.
"Selama beberapa hari selepas Ashraf pergi, saya asyik menampar diri sendiri, bangunlah, kenapa saya masih tidak bangun dari mimpi.
"Ashraf orang pertama paling rapat dalam hidup saya, yang pergi meninggalkan saya. Saya cakap, Tuhan, aku redha dan aku ikhlas. Tidak ada momen di mana saya histeria dan tak dapat terima pemergiannya.
"Saya redha, cuma kejutan itu terlalu besar," katanya dalam siri #BCLMelangkahLagi, berjudul Love Story #2 - Hari-Hari Terakhir Ashraf.
"Saya tidak marah dengan takdir Tuhan. Cuma saya berada dalam situasi 'tidak tahu'.
"Selama saya hidup, saya diajar untuk menerima apa sahaja situasi. Apa pun yang terjadi, acceptance, atau penerimaan itu penting, baru boleh ke peringkat seterusnya.
"Tetapi Noah, anak saya, sudah kehilangan bapanya. Di mana lagi saya boleh cari figure yang begitu untuk Noah," katanya sambil menyeka air mata.
"Bukanlah saya menyesal kerana memberi tumpuan kepada kerjaya. Tetapi hari ini bila difikirkan kembali, saya tertanya, untuk apa saya 'berlari' selama ini? Apa yang saya kejar?
"Kalaulah saya tahu masa saya dengan dia hanya 12 tahun, mungkin keutamaan saya juga berubah. Mungkin saya tidak 'berlari' begitu, dalam keadaan saya sendiri tidak tahu apa yang saya kejar," ujarnya.
Sumber : Astro AWANI
|
|