CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1737|Reply: 1

Siapa Wanita Solehah?

[Copy link]
Post time 17-2-2021 09:45 AM | Show all posts |Read mode

Wanita solehah adalah seorang yang bertakwa dengan melakukan apa yang disuruh oleh Allah.


Harian Metro

Siti Nur Baiin Che Harun

Wanita hiasan dunia, seindah hiasan adalah wanita solehah, yang akan membahagiakan syurga di dalam rumah tangga. Begitulah bait-bait lirik nasyid daripada kumpulan Inteam yang menyeru sekali gus mempalitkan nasihat dan dakwah mengenai sebaik-baik hiasan di dunia adalah wanita solehah.

Hadis  yang diriwayatkan daripada Abdullah bin 'Amr RA, Nabi SAW pernah bersabda yang bermaksud: "Dunia adalah perhiasan dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita solehah."‏ (Riwayat Muslim, No  715)

Wanita solehah adalah seorang yang bertakwa dengan melakukan apa yang disuruh oleh Allah SWT dan meninggalkan apa yang dilarang. Menutup aurat mengikut syarak adalah salah satu suruhan Allah SWT kepada semua Muslimah.

Sabda Nabi SAW bermaksud: "Hendakkah kamu aku beritahukan tentang sebaik-baik harta seorang lelaki adalah wanita yang solehah. Apabila dia melihat kepadanya, dia akan menggembirakan, apabila dia memberi arahan kepadanya wanita itu taat dan apabila dia tidak berada di sisinya, wanita itu menjaga maruah dirinya." (Riwayat Abu Daud, No  1664)

Hukum menutup aurat bagi perempuan yang baligh dan berakal adalah wajib. Mendapatkan keredaan Allah SWT adalah tujuan utama hidup. Hikmah terbesar mematuhi hukum Allah adalah terhindar dan selamat daripada azab api neraka. Dengan menutup aurat juga akan mengangkat maruah, memelihara kehormatan dan ia lambang kemuliaan seseorang Muslimah itu. Ia juga mampu menghindarkan diri dan masyarakat terjebak dengan segala kemaksiatan dan mengelakkan daripada timbulnya fitnah.

Allah berfirman yang bermaksud: "Wahai anak-anak Adam! Sesungguhnya Kami telah menyediakan pakaian untuk menutupi auratmu dan sebagai perhiasan bagimu. Tetapi pakaian takwa, itulah sebaik-baik pakaian. Demikianlah sebahagian tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka beringat." (Surah Al-A'raf ayat 26)

Daripada  ayat ini jelas Allah mengingatkan kepada kita bahawa sebaik-baik perhiasan atau sebaik-baik pakaian adalah pakaian takwa.

Allah berfirman dalam kitab-Nya mengenai adab dan syariat berpakaian dalam Islam. Islam sangat mengangkat darjat seorang wanita Islam dan sangat menitikberatkan ketinggian akhlak seseorang wanita itu dengan menjaga auratnya.

"Dan katakanlah kepada perempuan yang beriman agar mereka menjaga pandangannya, (daripada memandang yang haram) dan memelihara kemaluan (kehormatan) mereka; dan janganlah menampakkan perhiasannyanya (aurat) kecuali yang biasa terlihat. Dan hendaklah mereka menutup kain tudungnya hingga ke dada dan janganlah menampakkan perhiasannya (auratnya), kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami (mentua) mereka atau putera-putera mereka atau putera-putera suami (anak-anak tiri) mereka atau saudara-saudara lelaki mereka atau putera-putera saudara lelaki mereka atau putera-putera perempuan mereka atau perempuan (sesama Islam) mereka atau hamba sahaya yang mereka miliki atau pelayan lelaki (tua) yang tidak mempunyai keinginan (terhadap perempuan) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat perempuan. Dan janganlah mereka menghentakkan kaki agar diketahui perhiasan yang tersembunyi. Dan bertaubatlah kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, agar kamu beruntung." (Surah An-Nur ayat 31)

"Wahai Nabi, katakanlah kepada isteri-isterimu, anak-anak perempuanmu dan isteri-isteri orang Mukmin, "Hendaklah mereka (menutupkan jilbabnya) melabuhkan pakaiannya ke seluruh tubuhnya (semasa mereka keluar). Yang demikian itu agar mereka lebih untuk dikenali sehingga mereka tidak diganggu. Dan (ingatlah) Allah Maha Pengampun, Maha Penyayang."  (Surah Al-Ahzab ayat 59)

Daripada Tafsir Ibnu Kathir, Allah SWT memerintahkan Rasul-Nya agar menyuruh isteri-isteri, anak-anak perempuan baginda dan umumnya perempuan beriman agar mereka menutup aurat ke seluruh tubuh sehingga dapat dibezakan dengan perempuan jahiliyah dan hamba perempuan. Ini kerana, dahulu kebiasaan orang fasiq di kota Madinah suka keluar pada waktu malam ketika hari mulai gelap, menuju ke jalan-jalan di kota Madinah dengan niat melihat-lihat perempuan. Kerana ketika waktu malam tiba, kebiasaan perempuan itu keluar menuju ke jalan-jalan untuk melepaskan hajat (buang air). Lelaki fasik itu mempunyai keinginan buruk pada perempuan. Apabila mereka melihat perempuan berjilbab maka mereka berkata: "Ini perempuan terhormat, tahanlah diri kamu." Tetapi apabila mereka melihat perempuan tidak berjilbab, maka mereka berkata, "Ini hamba perempuan." Maka mereka segera menghampirinya.

Mujahid mengatakan, perempuan berjilbab dapat dipastikan mereka adalah perempuan terhormat sehingga lelaki yang fasik (jahat) tidak akan berani mengganggunya dan berkelakuan mencurigakan terhadapnya. (Ibnu Kathir, Tafsirul Quran 'Azimi, Jilid 11 1421 H/2000 M: 242-243)

Daripada Aisyah RA dia berkata, bahawa Asma binti Abu Bakar R.A masuk menemui Rasulullah SAW dengan memakai kain yang jarang, maka Rasulullah SAW memalingkan muka daripadanya. Baginda bersabda: "Wahai Asma, sesungguhnya seorang wanita jika telah baligh tidak boleh terlihat daripadanya kecuali ini dan ini. Baginda menunjuk wajah dan kedua telapak tangannya." (Hadis Riwayat Abu Daud, Sunan Abi Daud, Juz 4, No Hadis 4104)

"Dan perempuan tua yang telah berhenti daripada haid dan mengandung, yang tidak ingin berkahwin lagi maka tidak ada dosa menanggalkan pakaian luarnya, dengan tidak bermaksud menampakkan (aurat) tetapi memelihara kehormatan (dengan tidak menanggalkan pakaian luarnya itu) adalah lebih baik bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui." (Surah An-Nur ayat 60)

"Tidak ada dosa ke atas isteri-isteri Nabi (untuk berjumpa tanpa tabir) dengan bapa-bapa mereka, anak lelaki mereka, saudara lelaki mereka, anak lelaki daripada saudara lelaki mereka, anak lelaki daripada saudara perempuan mereka dan anak-anak lelaki saudara-saudara perempuan mereka, perempuan-perempuan mereka (yang beriman) serta hamba sahaya yang mereka miliki dan bertakwalah kamu (isteri-isteri Nabi) kepada Allah. Sesungguhnya Allah Maha Menyaksikan segala sesuatu." (Surah Al-Ahzab ayat 55)

"Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memasuki ke rumah-rumah Nabi (menunggu makanan masak kerana hendak makan bersama), kecuali jika kamu dijemput (diizinkan) untuk makan tanpa menunggu waktu masak (makanannya), tetapi jika kamu dipanggil maka masuklah (pada waktu yang ditetapkan) dan apabila kamu selesai makan, keluarlah kamu tanpa memanjangkan percakapan (duduk bersenang-senang dengan berbual-bual). Sesungguhnya itu mengganggu (menyakiti dan menyusahkan) Nabi sehingga dia (Nabi) malu (hendak menyatakan hal itu) kepada kamu, (untuk menyuruhmu keluar) dan Allah tidak malu menerangkan yang benar. Apabila kamu meminta sesuatu (keperluan) kepada mereka (isteri-isteri Nabi), maka mintalah daripada sebalik tabir. Cara yang demikian lebih suci bagi hati kamu dan hati mereka. Dan tidak boleh kamu sama sekali menyakiti hati Rasulullah SAW dan tidak boleh pula menikahi isteri-isterinya selama-lamanya setelah Nabi wafat. Demikian itu sangat besar dosanya di sisi Allah." (Surah Al-Ahzab ayat 53)

Ayat ini melarang sahabat masuk ke rumah Rasulullah untuk makan sambil menunggu-nunggu waktu makannya Rasulullah.

Wahai wanita, tutuplah auratmu dengan pakaian takwa kerana dirimu begitu berharga sehinggakan Allah perintahkan untuk menutupi keindahan diri daripada sebarang pandangan. Bersederhanalah dalam memilih pakaian, rasa malu sebagai perhiasan, menjaga pandangan, menjaga lisan, menjaga kehormatan diri, takut berbuat dosa, menangis kerana Allah dan selalu panjatkan kesyukuran kepada Allah SWT kerana wanita solehah adalah penghuni yang akan menjadi dambaan syurga.

* Penulis Guru Bahasa Inggeris di Fakulti Pengajian Bahasa Utama (FPBU), Universiti Sains Islam Malaysia (Usim)

Rate

2

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 18-2-2021 01:57 PM | Show all posts
hehehe wanita solehah

so role model ialah para isteri rasulullah saw dan cerita sahabt tentang suri teladan yg baik
uswatun hasanah


kalau..Kim So Young  - hehehhhehehehehe? ALL In...
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

29-3-2024 10:27 AM GMT+8 , Processed in 0.058701 second(s), 29 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list