Isu ketukan misteri yang pernah menghantui penduduk Sabak Bernam di Malaysia merebak ke negara jiran apabila kejadian serupa dilaporkan di wilayah Lampung, selatan Pulau Sumatera.
Menurut laporan portal berita Radar Lampung semalam, kejadian ketukan misteri yang bermula selepas waktu maghrib dan melibatkan kediaman seorang wanita itu meresahkan penduduk pekan Kota Agung Timur dan Kota Agung Tanggamus.
Anggota Unit Perisikan Polis Kota Agung melawat seorang penduduk kampung bernama Sunayah yang panik selepas mendengar ketukan misteri pada pintu rumahnya. – Polis Daerah Kota agung
Namun begitu, Ketua Polis Daerah Kota Agung, Asisten Komisioner Muji Harjono menafikan kejadian itu ada kaitan dengan unsur mistik seperti yang tular di media sosial.
“Pihak polis menolak kemungkinan wujud unsur mistik dalam hal ini. Kami telah memeriksa rumah salah seorang penduduk Kota Agung Timur yang mendakwa rumahnya menjadi sasaran gangguan.
“Pemilik rumah bernama Sunayah itu dipercayai mengalami ketakutan melampau kerana hanya tinggal berdua dengan anaknya,” jelas Muji.
Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak menyebarkan khabar angin yang boleh mengganggu keharmonian masyarakat setempat.
“Jangan sebarkan maklumat menerusi media sosial kerana cara itu tidak menyelesaikan masalah dan akhirnya hanya menimbulkan kekecohan serta ketakutan orang ramai,” tegas Muji.
Tambahnya, pasukan bersepadu Polis Tanggamus dan Polis Kota Agung telah meningkatkan rondaan malam bagi memastikan tidak berlaku sebarang gangguan terhadap penduduk kampung.
“Aktiviti rondaan malam akan terus dipergiat oleh pasukan keselamatan dan saya berharap agar kehadiran mereka dapat membuatkan masyarakat berasa lebih tenang,” jelas Muji.
Sumber: Kosmo! |