Bukan mudah mengharungi cabaran sebagai anak seni, apatah lagi, tampil berbeza daripada penyanyi biasa.
Penyanyi rap, Bunga berkata, itulah dijadikan cabaran untuk inspirasi dan diabadikan dalam single terbaharu berjudul Intan Payung.
"Ada yang memandang rendah disebabkan usia pembabitan saya dalam dunia seni baru setahun jagung. Lebih teruk, ada yang mempertikaikan tindak tanduk dan tidak kurang juga memberikan kecaman.
"Jadi, single Intan Payung ini diilhamkan daripada perjalanan hidup saya dan orang sekeliling. Saya berpegang kepada kata-kata, kejayaan terbaik selalunya bermula dengan kegagalan.
"Semua orang kena berjuang dalam perjalanan ke puncak kejayaan. Usaha gagal, tersadung, terhalang atau membuat perubahan arah yang radikal adalah kunci kepada kejayaan.
"Dengan single Intan Payung ini, saya cuba mengatakan jangan putus asa apabila hidup tidak berjalan lancar. Belajarlah daripada kegagalan, teruskan perjalanan dan jangan berputus asa. Walaupun mendaki perlahan, asalkan selamat sampai ke puncak. Tetapi, apabila sudah capai kejayaan, jangan lupa diri dan asal usul," katanya kepada BH Online.
Foto: via berita Harian
Ekoran itulah, Bunga atau nama sebenarnya, Noor Ayu Fatini memilih Ratu Pop Etnik Malaysia, Noraniza Idris atau Kak Ani untuk berkolaborasi dengannya.
"Apa yang disampaikan oleh Kak Ani dalam single Intan Payung seolah-olah seperti ibu menasihati anaknya iaitu saya yang sedang belajar," katanya yang ditemubual menerusi sidang media secara maya, petang semalam.
Single Intan Payung ciptaan Bunga bersama penerbit, pencipta dan penyanyi rap, Luca Sickta.
Tidak hanya meluahkan keterujaan diberi peluang bekerjasama dengan penyanyi Dikir Puteri itu, Bunga berkata, dia risau sekiranya liriknya tidak mencapai standard yang memuaskan.
"Saya bertuah diberi peluang berkolaborasi dengan Kak Ani. Tetapi, dalam masa yang sama, saya gementar sebab saya masih baru dan banyak perkara yang perlu dipelajari.
"Sebelum ini, saya pernah beritahu saya mahu mantapkan diri sebagai penyanyi sebelum bekerjasama dengan penyanyi berpengalaman seperti Kak Ani. Tetapi, ia berlaku dengan sangat pantas. Jadi, saya sifatkan ini sebagai rezeki dan peluang baik untuk saya.
"Saya juga risau apabila menyiapkan lirik single ini kerana mahu menyanyikan dengan Kak Ani. Saya tak bolehlah menghasilkan lirik yang mengarut. Jadi, proses menghasilkan lirik memang lama, iaitu sejak awal tahun lalu lagi.
"Kalau mahu diikutkan karya ini sepatutnya menjadi single kedua, tetapi saya hanya dapat dikeluarkan tahun ini," katanya.
Foto: via Berita Harian
Dalam pada itu, Bunga juga menyatakan karya tulisan Allahyarham Tan Sri P Ramlee, Ketipang Payung menerusi filem Nujum Pak Belalang juga antara inspirasi menghasilkan lirik single itu.
Bunga mula mencipta nama pada 2019 selepas tular mengenakan baju kurung dan berhijab sambil melontarkan bait-bait rap ketika muncul dalam program anjuran Joe Flizzow, 16 Baris.
Terdahulu, Bunga pernah tampil dengan single Bunga, Apedehal serta seterusnya, 300 Saat, duet bersama Amzar Sabri. -CARI