Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) mengumumkan panggung wayang akan dibenarkan untuk membuka operasi semula selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di beberapa negeri semalam.
Semalam, Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Kuala Lumpur, Selangor, Johor dan Pulau Pinang ditukar kepada PKPB berkuat kuasa 5 hingga 18 Mac ini, manakala Kedah, Kelantan, Negeri Sembilan, Sarawak dan Perak kekal dengan PKPB.
Enam negeri PKPB iaitu Melaka, Pahang, Terengganu, Sabah, Putrajaya dan Labuan ditukar status kepada PKPP), manakala Perlis kekal sebagai negeri berstatus PKPP.
Bagaimanapun, kebenaran pembukaan semula operasi panggung wayang di kawasan PKPB dan PKPP tertakluk kepada pematuhan semua garis panduan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN).
Kredit foto: Harian Metro
"Ia meliputi protokol pencegahan penyakit dan sekatan, saringan kesihatan, pembersihan dan nyah kuman premis, penjarakan fizikal dan tatacara keselamatan pekerja serta tindak balas kecemasan," katanya dalam satu kenyataan.
Finas juga akan memaklumkan perkembangan terkini dari semasa ke semasa menerusi medium hebahan media dan laman sesawangnya.
Kemaskini itu juga boleh diikuti menerusi platform media sosial rasmi Finas di Facebook, Instagram dan Twitter.
Terdahulu, Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) mengumumkan sektor panggung wayang yang menjadi nadi hiburan dan menjana ekonomi itu mengambil masa lama untuk pulih.
Ia susulan penutupan operasi disebabkan PKP.
Perniagaan sektor itu mengalami kerugian lebih RM400 juta sepanjang 10 bulan sejak gangguan operasi. -CARI
Sumber: Harian Metro |