Perkongsian seorang pemuda berusia 26 tahun mengenai masalah resdung yang dialaminya ternyata membuktikan penyakit itu tidak boleh dipandang remeh.
Menurut Aiman Shafiq Mohd Shafie, dia berdepan dengan simptom resdung itu sudah lama tetapi baru mendapat pengesahan doktor kira-kira setahun yang lalu.
Perkongsian Aiman menjalani rawatan resdung, di TikTok.
Lebih mesra disapa Aiman, dia sekadar mahu berkongsi pengalaman dan ingin memberitahu orang ramai bahawa penyakit itu bukan sesuatu yang biasa-biasa.
"Geli tolak tepi, yang penting perkongsian saya bermanfaat untuk orang lain.
"Resdung ni selalu tak dipandang serius oleh masyarakat sebab tak banyak pendedahan. Jadi, apa salahnya pengalaman yang ada saya kongsi. Lebih baik mencegah daripada merawat.
Aiman menjalani rawatan resdung.
"Saya sendiri tak ambil serius penyakit resdung ini sehinggalah keadaan semakin teruk," kata pemuda yang bekerja dalam bidang hartanah ini ketika dihubungi mStar.
Anak kelahiran Kuala Terengganu itu memberitahu baru setahun lalu dia mengambil keputusan untuk berjumpa doktor, itu pun kerana kerap sakit kepala (migrain) dan mengalami demam panas.
"Sebelum ini memang saya sensitif dengan habuk, bersin setiap pagi hinggakan kerap sakit kepala (migrain).
"Tiba-tiba satu hari saya demam, saya pun berjumpa doktor untuk dapatkan ubat migrain dan demam.
"Lebih mengejutkan saya doktor terus tahan saya di wad untuk lalukan pemeriksaan imbasan (CT scan). Dapat result tu doktor mengesahkan saya alami resdung kronik (chronic rhinosinusitis)," ujarnya.
Bercerita lanjut mengenai pengalamannya, anak sulung daripada empat beradik itu berkata dia sendiri tidak menyangka masalah resdungnya akan menjadi seteruk itu.
Hampir setahun pemuda ini mengalami masalah bersin setiap pagi.
Tambah Aiman lagi, susulan itu dia menjalani pembedahan pada Ogos tahun lalu dan kini telah pulih sepenuhnya.
"elbagai kaedah rawatan dilakukan termasuk mengeluarkan lendir dari hidung sebelum saya menjalani pembedahan.
"Doktor juga masukkan dalam hidung nasal packing untuk betulkan tulang (structure) hidung dan pernafasan.
"Bukan itu sahaja saya juga ada jangkitan sinus yang mana ia memberi kesan jangka masa panjang.
"Alhamdulillah... sekarang dah pulih sepenuhnya dan bagi saya ini masa sesuai untuk memberi kesedaran kepada orang ramai," ujarnya sambil menambah kos rawatan dan pembedahan mencecah RM20,000.
Kos rawatan resdung yang dilakukan oleh Aiman.
Lebih ngeri lagi, selama tiga hari Aiman terpaksa bernafas ikut mulut kerana di dalam hidungnya dimasukkan nasal packing.
"Sejujurnya, memang terseksa betul selama beberapa hari itu. Makan bubur ja dan minum air pun pelahan-lahan," katanya mengingatkan sesiapa yang mengalami simptom resdung supaya segera mendapatkan rawatan.
Sumber: mStar |