|
Aceh: Seorang lelaki dipercayai pegawai polis yang hilang sejak 17 tahun lalu ketika bencana tsunami 2004 didakwa ditemui selamat di Rumah Sakit Jiwa (RSJ) Zainal Abidin di Banda Aceh.
Kompas melaporkan, Baharaka Asep ditemui oleh anggota polis daerah Aceh, Bripka Indra S selepas menerima maklumat awal daripada orang ramai.
Menerusi rakaman video berdurasi 12 saat memaparkan Indra kelihatan sungguh gembira ketika menyampaikan maklumat terbabit kepada rakan-rakan polis yang lain.
Foto: Kompas
"Alhamdulillah Asep sudah dijumpai, namun Asep kelihatan binggung tanpa reaksi kerana mengalami masalah mental," katanya.
Laporan itu mengatakan, sejak Rabu, RSJ itu dibanjiri anggota polis yang ingin menziarahi Asep.
Bagaimanapun, anggota polis enggan dikenali berkata, maklumat terbabit belum disahkan kerana perlu menjalani ujian asid deoksiribonukleik (DNA) untuk mengetahui sama ada lelaki itu adalah Asep atau sebaliknya.
Sementara itu, Ketua Perhubungan Masyarakat Polis Aceh, Kombes Winardy, mengesahkan pihaknya menerima maklumat berkenaan.
"Sebaik menerima laporan berkenaan, sepasukan polis bergegas ke RSJ Aceh untuk proses pengecaman.
"Maklumat awal dari RSJ, pesakit dipercayai Bharaka Zainal Abidin Alias Asep mula menerima rawatan di RSJ sejak 2009," katanya.
Katanya, lelaki terbabit sudah ditempatkan di rumah sakit biasa kemudian dipindahkan ke RSJ Zainal Abidin Aceh.
"Buat masa ini, kami belum dapat memastikan sama ada lelaki terbabit ialah Asep iaitu anggota polis Aceh yang hilang ketika tsunami 2004.
"Bagaimanapun kami akan bertemu keluarganya di Jawa Barat untuk melakukan ujian DNA, cap jari dan maklumat pengenalan diri," katanya. -CARI
Sumber: Harian Metro |
Rate
-
1
View Rating Log
-
|