Pekerja ladang yang menetak rakannya kerana suka membazir air akhirnya berjaya ditangkap di kawasan ladang kelapa sawit di Ladang Melangking, Sukau, pada Selasa.
Gambar hiasan/msn
Lelaki itu diberkas polis kira-kira jam 4 petang, ketika bersembunyi di bawah timbunan pelepah kelapa sawit.
Ketua Polis Daerah Kinabatangan Supt Dzulbaharin Ismail berkata, pihaknya menerima makluman suspek datang ke perumahan pekerja ladang meminta makanan sehari sebelum penahanan dilakukan.
Susulan itu, usaha mengesan suspek dipergiatkan ke kawasan berdekatan di mana suspek dilaporkan muncul.
“Setelah menjalankan pemeriksaan, penjenayah itu berjaya ditemui bersembunyi di bawah timbunan pelepah sawit.
“Semasa ditemui, lelaki itu tidak berpakaian dan masih lagi memegang sebilah pedang samurai yang dipercayai digunakan untuk menetak mangsa.
“Ketika cuba ditangkap, suspek dilaporkan turut bertindak agresif, namun berjaya diberkas. Senjata sepanjang 76 sentimeter yang digunakan juga dirampas,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut Dzulbaharin, siasatan diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.
Terdahulu pada Isnin, Astro AWANI melaporkan berita kejadian pergaduhan dua rakan serumah susulan masalah bekalan air sehingga salah seorang terbunuh.
Kredit foto: Harian Metro
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 petang Sabtu lalu, mangsa dilibas dengan senjata tajam oleh suspek di bahagian perut hingga menyebabkan kecederaan parah, sebelum meninggal dunia di Hospital Kinabatangan.
Sumber: AWANI |