|
Penyanyi Andi Bernadee, 30, terkilan apabila tiba-tiba dikaitkan dengan isu mempersenda Orang Kelainan Upaya (OKU) selepas kontroversi video penyanyi Baby Shima berbuat demikian, semalam.
Andi atau nama sebenarnya Andi Azrul Andi Mapangile menerima kecaman menerusi videonya yang dimuat naik baru-baru ini walaupun ia tiada kaitan mengenai OKU.
Penyanyi lagu Satu Peluang itu berkata, dia sendiri tidak tergamak untuk mempersenda golongan OKU.
Foto: IG
"Ketika saya muat naik video itu, ia langsung tiada kena-mengena dengan video Baby Shima itu. Saya boleh bezakan mana yang baik dan mana yang tak elok.
"Memang saya buat video itu sekadar suka-suka. Ruangan komen saya ketika itu pun langsung tak ada sesiapa timbulkan isu mempersenda golongan OKU hinggalah Baby Shima memuat naik video mengenai tokoh OKU, Zhariff Affandi itu. Isi kandungan sama, cuma dia tambah video Zhariff dan ia sudah jadi lain. Saya pun bila tengok video itu jadi marah," katanya.
Menurut Andi, tidak mungkin dia akan hasilkan video itu sekiranya dapat tahu awal mengenai video Baby Shima itu.
Andi berkata, dia sangat menghormati golongan OKU dan pernah menyantuni sendiri golongan itu sebelum ini.
"Saya pernah ke Kelantan menyokong acara amal untuk golongan OKU. Kami makan dan bersukan bersama selain menghiburkan mereka.
"Saya mohon maaf kepada pihak yang terbabit dalam isu ini terutama abang Zhariff. Harap perkara sebegini takkan berulang lagi," katanya.
Terdahulu, Baby Shima memohon maaf atas kesilapannya meniru pergerakan Zhariff yang dilahirkan tanpa kedua-dua tangan menerusi satu hantaran video di aplikasi TikTok, baru-baru ini.
Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli berkata, dia sudah memadam video berkenaan dan menjelaskan ia dilakukan tanpa sengaja tanpa menyedari Zhariff seorang OKU. -CARI
Sumber: Harian Metro
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|