CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2310|Reply: 5

Kepulangan yang berakhir tragedi

[Copy link]
Post time 6-4-2021 09:56 PM | Show all posts |Read mode
Kepulangan yang berakhir tragedi


RIWAYAT Ahmad Najib (kiri) berakhir di tali gantung pada Jumaat 24 September 2016, sejurus waktu subuh.

Kuala Lumpur: Masih 'melekat' di benak ingatan penulis ketika melihat sosok wanita separuh dekad muncul di pejabat Biro Pengaduan Awam Wisma MCA, Jalan Ampang di sini. Mukanya agak lesu manakala bola matanya berair kemerahan. Mungkin kerana banyak menangis.

Jam ketika itu menunjukkan waktu 11.45 pagi, bertarikh 15 Jun 2003. Wanita itu kemudian dibawa masuk ke bilik khas sebelum sidang media dimulakan oleh Ketua Biro Pengaduan Awam MCA, Datuk Seri Micheal Chong.

Sekitar 20 wakil media dan jurugambar kebanyakannya media cetak berbahasa Cina memenuhi ruang kamar berkenaan termasuk penulis mewakili akhbar Harian Metro.

Sebaik memulakan bicara Micheal memperkenalkan wanita itu sebagai Pearly Visvanathan Ong, 60-an. Dia adalah ibu kandung wanita jelita, Canny Ong Lay Kian, 27, yang dilaporkan diculik sejak 13 Jun 2003.

Turut menemaninya adalah salah seorang anaknya yang juga adik mangsa, Ong Lee Shian, 21. Objektif kehadirannya hanya satu, mahu pihak media membantu menjejaki kehilangan anak kesayangannya yang diculik di kawasan parkir Kompleks Beli-Belah Bangsar (BSC) Bangsar, Kuala Lumpur.

Lokasi kejadian hanya terletak kira-kira tiga kilometer dari Balai Berita New Straits Times (NSTP) di Jalan Riong, Bangsar.

Menurutnya, Canny Ong dilahirkan di Ipoh, Perak, berhijrah dan bekerja sebagai penganalisis teknologi maklumat di San Diego, California, Amerika Syarikat dan mempunyai suami bernama Brandon.

Mereka merancang untuk memiliki cahaya mata. Namun apabila mengetahui bapanya, Ong Bee Jeng menghidap kanser, Canny Ong bergegas terbang pulang ke Malaysia untuk menziarahi bapanya yang terlantar sakit.

Bagaimanapun, mereka yang meraikan majlis perpisahan dikejutkan dengan kejadian penculikan Canny Ong.

Dia dilarikan seorang lelaki menggunakan kereta mangsa jam 10.45 malam hari kejadian, 13 Jun.

Pada sidang media itu juga gambar wajah Canny Ong diedarkan kepada semua wartawan yang hadir. Harapan tinggi diletakkan supaya wanita malang itu dapat ditemui dengan selamat.


CANNY Ong

Malah, gambar Canny Ong bersaiz poskad itu masih tersimpan rapi dalam laci penulis sehingga kini.

Ketika sidang media berakhir, tiada siapa menyangka ia hanyalah babak permulaan kepada plot tragedi pembunuhan ngeri bakal menggemparkan seluruh negara. Tanda tanya kehilangan Canny Ong akhirnya terjawab lima hari kemudian pada 17 Jun 2003 apabila mayatnya ditemui dalam keadaan rentung dibakar.

Dia dibunuh kejam sebelum mayatnya disumbat ke dalam lubang longkang berhampiran tapak pembinaan Projek Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) Petaling Jaya, Selangor.

Fakta kes mula terungkai satu per satu apabila 'sahabat akrab' penulis, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Selangor ketika itu, Senior Asisten Komisioner (SAC) Abu Bakar Mustafa mendedahkan 'misi syaitan' lelaki bernama Ahmad Najib.

Menurutnya, Canny Ong dan penculiknya, Ahmad Najib sempat ditemui di dalam kereta Proton Tiara oleh anggota polis, Lans Koperal S Ravichandran yang melakukan rondaan bermotosikal di Kelana Jaya, Selangor iaitu kira-kira sejam selepas mangsa diculik.

Sewaktu sedang melakukan pengecaman identiti, polis terbabit mendakwa terlihat Canny Ong membuat isyarat tangan seolah-olah sedang berdoa atau meminta tolong. Curiga dengan isyarat dilakukan Canny, polis terbabit mengarahkan suspek untuk keluar daripada kenderaan.


KELIBAT Ahmad Najib dapat dirakam melalui litar kamera tertutup (CCTV) di kawasan parkir BSC.

Namun begitu Najib memecut laju kereta tanpa mengambil semula kad pengenalannya. Walaupun dua das tembakan dilepaskan polis namun suspek berjaya bolos.

Menurut Abu Bakar, suspek kemudian sempat meminjam jek dari seorang pemandu kereta wanita bernama Aminah di Jalan Sungai Way, bagi menukar tayar kenderaan yang bocor ditembak polis itu.

Katanya, Aminah juga sempat melihat Canny melambai tangan ke arahnya seolah-olah meminta tolong. Terdetik di hati Aminah, sesuatu buruk sedang berlaku. Dia kemudian segera membuat laporan ke Balai Polis Subang Jaya selepas suspek beredar dalam keadaan tergesa-gesa.

Klimaks kepada kejadian adalah apabila Canny Ong diperkosa di dalam kereta berhampiran Taman Datuk Harun, Jalan Klang Lama, beberapa jam kemudian sebelum mangsa ditikam hingga mati.



ANGGOTA forensik melakukan siasatan di lokasi penemuan mayat mangsa.

Mayat Canny Ong kemudian disumbat ke dalam lubang longkang sempit di tepi lebuh raya dan ditindih dengan dua tayar besar berisi simen. Penjenayah kemudian muncul semula di lokasi kejadian sehari selepas itu - 15 Jun dengan membawa dua botol petrol dibeli di stesen minyak Jalan Pantai Baharu.

Petrol itu dijirus pada mayat mangsa sebelum dibakar hingga rentung. Mujur kejadian itu disedari pengurus tapak binaan lebuh raya sebelum laporan polis segera dilakukan.

Lima hari kemudian iaitu pada 20 Jun 2003, pihak polis akhirnya berjaya menangkap 'binatang' bernama Ahmad Najib Aris, 27, yang membunuh Canny Ong susulan serbuan di sebuah rumah di Kampung Kerinchi, Pantai Dalam, Kuala Lumpur.

Ketua Unit Siasatan, Tempat Kejadian Jenayah (CSI), Makmal Forensik, Bukit Aman, Amidon Anan ketika ini yang amat 'mesra media' memaklumkan pada penulis, berdasarkan laporan bedah siasat, tangan Canny Ong diikat sehelai kain selain punca kematiannya akibat dijerut dan dicekik di leher.

Perbicaraan ke atas Ahmad Najib berlangsung selama 13 tahun hingga ia dianggap sebagai perbicaraan kes jenayah paling lama berlangsung dalam landskap jenayah Malaysia.

Dengan bukti kukuh seperti DNA dan kesan air mani, Ahmad Najib yang kerap tampil memakai kopiah akhirnya dijatuhi hukuman gantung sampai mati di Mahkamah Tinggi Shah Alam pada Februari 2005.

Pada Jumaat 24 September 2016, sejurus waktu subuh, riwayat Ahmad Najib yang bekerja pencuci kabin kapal terbang berakhir di tali gantung.

Walaupun pembunuh dapat diheret ke mahkamah ketika itu, muncul pelbagai 'spekulasi liar' kononnya Ahmad Najib adalah bekas kekasih Canny Ong.


KEADAAN mayat mangsa yang ditemui rentung dalam lubang longkang berhampiran tapak pembinaan Projek Lebuh Raya Pantai Baru (NPE) Petaling Jaya, Selangor.

Wujud tuduhan kononnya ia akibat isu hutang along selain dakwaan Ahmad Najib adalah 'kambing hitam' kes bunuh itu. Banyak persoalan sukar dijawab penulis dan ramai anggota polis yang terbabit dengan kes itu sehingga kini.

Mengapa Canny tidak melarikan diri ketika penjenayah sedang cuba menukar tayar kereta sedangkan dia adalah pemegang tali pinggang hitam seni mempertahankan diri. Mengapa Canny tidak menjerit meminta tolong ketika kereta dinaiki ditahan anggota polis.

Apa motif sebenar pembunuhan dan benarkah semua itu dilakukan secara spontan atau 'suka-suka' oleh Ahmad Najib?

Muncul tanda tanya sama ada Ahmad Najib adalah seorang psikopat ataupun sebaliknya. Semua itu mengundang kebingungan dan tiada jawapan jelas hingga kini.

Bagi penulis, walaupun kes pembunuhan tidak berhati perut ini sudah berlalu hampir 18 tahun namun ia payah dilupakan.

Sumber : https://www.hmetro.com.my

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 6-4-2021 10:18 PM From the mobile phone | Show all posts
Bukan ke canny ada gosip bapak gula?
Reply

Use magic Report

 Author| Post time 7-4-2021 12:30 PM | Show all posts
sharlenetexas replied at 6-4-2021 10:18 PM
Bukan ke canny ada gosip bapak gula?

xda la....
Reply

Use magic Report

Post time 7-4-2021 12:54 PM | Show all posts
Salah satu kes paling gempar dulu ramai yang ikuti perkembangannya
Reply

Use magic Report

Post time 7-4-2021 02:28 PM From the mobile phone | Show all posts
Raline replied at 7-4-2021 12:30 PM
xda la....

Pastu mak dia ada hutang ahlong.

Reply

Use magic Report

Post time 7-4-2021 03:20 PM | Show all posts
pengakhiran kita adalah yg diambil kira disana..jika baik..maka bahagiala
Reply

Use magic Report

Follow Us
You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

30-11-2024 12:59 AM GMT+8 , Processed in 0.131845 second(s), 22 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list