|
PSG lebur rekod gah Bayern
MBAPPE (tengah) menjaringkan dua gol untuk PSG. FOTO EPA
Munich: Kylian Mbappe menegaskan Paris Saint-Germain (PSG) perlu terus berusaha selepas dia meledak dua gol ketika membantu kelabnya melakar kemenangan 3-2 ke atas juara bertahan, Bayern Munich pada suku akhir pertama Liga Juara-Juara, hari ini.
Rekod tanpa tewas Bayern sepanjang 19 perlawanan di Liga Juara-Juara berakhir selepas gergasi Jerman itu tewas kali pertama di pentas Eropah sejak Mac 2019.
PSG medahului 2-0 selepas 28 minit di Allianz Arena selepas Neymar mencipta ruang untuk Mbappe dan Marquinhos menjaringkan gol.
Bayern yang menyaksikan penjaring terbanyaknya, Robert Lewandowski diketepikan kerana kecederaan lutut, bagaimanapun berjaya menyamakan kedudukan hasil jaringan Eric Maxim Choupo-Moting dan Thomas Mueller.
Mbappe kemudian menunjukkan kemampuan sebenarnya menerusi gol menarik untuk memberikan pelawat kelebihan menjelang aksi timbal balik di Paris.
"Kami memanfaakan segala peluang dan memperoleh sedikit tuah. Tetapi ia masih belum berakhir," kata Mbappe dengan aksi timbal balik di Paris akan berlangsung Rabu depan.
Penjaga gol PSG, Keylor Navas menjadi watak penting dengan menyelamatkan beberapa percubaan berbahaya tuan rumah.
"Kami sepatutnya mampu menjaringkan lebih banyak gol.
"Jika ia berakhir dengan keputusan 5-3 atau 6-3 memihak kepada kami, tiada siapa mempersoalkannya berdasarkan kepada deretan peluang yang diperolehi," kata Mueller.
Sumber : https://www.hmetro.com.my
|
|