Adakah Telefon Pintar Dicipta Untuk Perang Dunia Ketiga?
Kita selalu berjumpa dengan orang yang berlagak dengan telefon bimbit yang canggih (terutamanya peminat iPhone, ehem!) dan suka membandingkan telefon bimbit canggih mereka dengan telefon bimbit orang lain.
Apabila kita bercakap tentang kecanggihan telefon bimbit, sudah pasti kita akan bercakap tentang kelebihan telefon tersebut, seperti berapa megapixel kamera telefon ini, atau bagaimana dengan processor mikrocip dalam telefon tersebut.
Tetapi pernahkah kita terfikir dari mana teknologi telefon ini berasal? Dan mengapa orang menciptakan telefon pintar ini?
Sejak Perang Dingin, perang tidak lagi bertindak dengan hanya peluru dan meriam, tetapi perang infomasi maklumat, serta teknologi yang canggih. Perang kini sudah mempunyai lima ruang, dahulunya kita tahu perang di darat atau di laut, kemudiannya selepas Wilbur dan Orville mencipta kapal terbang pada 1903, ruang udara menjadi lebih penting terutamanya pada Perang Dunia Kedua.
Dalam Perang Dingin pula, teknologi angkasa bermula selepas sahaja Soviet Union melancarkan Sputnik, satelit pertama di angkasa. Dengan Perlumbaan Angkasa, penciptaan yang banyak telahpun berlaku. Ruang angkasa pula menjadi ruang keempat dalam peperangan.
Salah satunya dengan penciptaan mikrocip.
Jack Kirby dan Robert Noyce dari Texas Instrument telah mencipta mikrocip pada tahun 1959 untuk teknologi peluru berpandu jarak jauh yang sedang dibangunkan oleh tentera Amerika Syarikat.
Ia digunakan untuk memastikan peluru tersebut dibawa tepat ke sasaran. Kamera digital dicipta oleh US National Reconnaisance Agency Office untuk memastikan satelit pengintip dari angkasa tidak memerlukan filem untuk dihantar ke bumi, sebaliknya dihantar melalui digital.
Begitu juga dengan teknologi GPS yang dibangunkan oleh US Air Force, serta internet sendiri untuk menghantar data dan maklumat rahsia dari makmal tentera Amerika Syarikat di Oak Ridge ke Los Alamos dalam masa paling pantas.
Kesemua ini berada di dalam komponen telefon bimbit kita yang canggih pada hari ini. Tetapi bila sebenarnya telefon ini dicipta?
Ketika kita rakyat biasa masih lagi beratur panjang di telefon awam dengan memegang segenggam syilling, dan orang kaya masih dengan telefon saiz batu-bata pada awal 1990an, tentera Amerika Syarikat sudahpun menggunakan telefon yang mempunyai teknologi yang seperti kita ada hari ini dalam Perang Teluk yang berlaku pada tahun 1990-1991.
17 tahun selepas Perang Teluk, telefon pintar pertama dilancarkan oleh Apple pada tahun 2007, iaitu iPhone. Tetapi Steve Jobs hanya mengambil teknologi ini dari tentera Amerika Syarikat dan menjadikan syarikat Apple sebuah syarikat multibillion pada hari ini.
Ya, telefon ini dicipta untuk peperangan.
Dalam kita sedang tenang berselfie bersama kekasih, atau sedang mengepos gambar makanan di Instagram, atau sedang membaca cerita gosip bawang di Twitter, sedar atau tidak sebenarnya peperangan sedang dan akan berlaku dan ia bermula di ruang ini.
Brexit, Trump, PRU 14 – kesemua keputusan politik dunia hari ini berlaku dengan konflik di ruang kelima – ruang cyber. Taktik seperti berita palsu, cybertrooper, atau pertelingkahan antara ahli politik semuanya bermula di ruang media sosial.
Ia bukan kebetulan apabila semua negara di dunia sedang menghadapi kegawatan krisis politik serta orang ramai mulai skeptikal dengan media massa terutamanya yang dikuasai pihak establishment.
Tetapi menurut George Friedman, pakar geopolitik dan CEO kepada Stratfor, iaitu syarikat menganalisis geopolitik semasa berpendapat, perang global sudah berlaku lama dan ia akan berulang lagi.
Dengan pengepungan tentera laut Amerika Syarikat di Laut China Selatan dan tindakan agresif China di perairan tersebut, dia menjangkakan kawasan tersebut mungkin akan menjadi titik panas dalam konflik yang kita bakal hadapi pada masa hadapan.
Di Eropah pula, persaingan Perancis dan Jerman dalam EU selepas Britain meninggalkan EU nanti, menjadikan konflik yang selama ini aman selama 70 tahun selepas Perang Dunia Kedua akan berulang kembali.
Dengan teknologi yang canggih, tanpa kita sedari sebenarnya di dalam poket kita, yang setiap hari kita gunakan ini, mungkin bakal mencetuskan Perang Dunia Ketiga.
Oleh itu, gunakan telefon canggih anda dengan mula menonton video geopolitik seperti George Friedman atau Peter Zeihan. Mana tahu nanti dah perang, anda masih berkhayal menonton video perempuan viral di Tik Tok.