Gara-gara mengabaikan faktor keselamatan kerana terlalu sibuk ‘berselfie’, tujuh pelancong mati lemas apabila bot dinaiki mereka terbalik di sebuah kawasan takungan air di Daerah Boyolali, Indonesia.
Agensi berita NZ Herald melaporkan, tekong bot tersebut hanyalah seorang budak lelaki berusia 13 tahun.
Kredit foto: Bengawan News/ist
Laporan itu memetik polis tempatan sebagai berkata, kesemua 20 penumpang bergerak ke satu sisi bot berkenaan untuk berswafoto di tasik tersebut.
“Punca kemalangan adalah bot itu mempunyai muatan melebihi had ditetapkan. Apabila kesemua 20 penumpang bergerak ke satu sudut, bot itu hilang imbangan dan terbalik,” kata Ketua Polis Jawa Tengah, Ahmad Lutfi.
Ahmad Lutfi berkata, memandangkan pengemudi terbabit baru berusia 13 tahun polis juga akan menyiasat sama ada faktor kecuaian merupakan antara faktor kemalangan tersebut.
Sementara itu, Kompas.com melaporkan kesemua jenazah mangsa akhirnya ditemui selepas tiga hari tragedi berkenaan berlaku sejak Sabtu lalu.
Difahamkan, 9 penumpang meninggal dunia manakala 11 lagi termasuk pengemudi sudah ditemui.
Difahamkan, dua mangsa terakhir ditemui malam tadi dan pagi ini.
Sumber: AWANI |