Satu pasukan khas akan ditubuhkan Kementerian Pengangkutan (MOT) bagi menyiasat kejadian pertembungan dua buah tren di Stesen KLCC dari arah Kampung Baru.
Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, pertembungan dua buah tren itu merupakan kejadian pertama berlaku sejak 23 tahun lalu.
“Ketua Pengarah MOT akan menghantar laporan awal selewat-lewatnya esok untuk menyiasat kejadian tersebut.
47 parah manakala 166 penumpang lagi cedera ringan selepas tren dinaiki bertembung.
“Kita juga akan menubuhkan satu pasukan khas dan mereka diberi tempoh dua minggu bagi menghantar laporan penuh untuk mengenal pasti punca kejadian,” katanya ketika sidang akhbar di lokasi kejadian di sini hari ini.
Kata beliau, pihaknya memberi jaminan akan melakukan yang terbaik untuk merawat semua mangsa yang cedera dalam insiden terbabit serta memastikan kebajikan mereka terbela.
“Saya bagi pihak kementerian amat bersimpati terhadap insiden yang menimpa penumpang di tren tersebut. Saya melihat sendiri pihak berkuasa bertungkus lumus mengeluarkan mangsa yang tercedera," katanya.
Tegasnya, insiden itu harus dijadikan iktibar dan pengajaran kepada semua pihak kerana ia melibatkan keselamatan orang ramai.
Terdahulu, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengarahkan Kementerian Pengangkutan dan Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) untuk melakukan siasatan penuh bagi mengenal pasti punca kemalangan.
Sumber: Kosmo |