|
Chong Wei simpati frontliners, gesa orang ramai duduk di rumah
FRONTLINERS kini berdepan cabaran hebat memerangi Covid-19.
Kuala Lumpur: Legenda badminton negara yang juga ketua kontinjen ke Sukan Olimpik Tokyo, Datuk Lee Chong Wei hari ini menggesa seluruh rakyat Malaysia bekerjasama menyekat penularan wabak Covid-19 sekali gus membantu mengurangkan beban petugas barisan hadapan kesihatan.
Dalam laman Facebooknya, bekas pemain nombor satu negara itu yang juga pemenang pingat perak tiga kali Sukan Olimpik turut menyatakan kebimbangannya dengan peningkatan jumlah mangsa Covid-19.
"6,735 orang frontliners kita disah positif, lima meninggal dunia akibat virus Covid-19, angka ini tidak termasuk mereka terkorban disebabkan kepenatan badan dan minda yang teramat,'' kata Chong Wei yang menggesa agar orang ramai terus kekal duduk di rumah.
"Saya harap kawan-kawan semua boleh membantu kurangkan beban mereka, stay home! Asalkan semua duduk rumah, virus tidak dapat cari mangsa, virus akan mati! Menanglah kita!
"Saya tahu semua orang penat, kecewa, takut. Tapi, cuba bayangkan perasaan frontliners (petugas barisan hadapan) yang setiap hari berpegang tangan, melekat pipi dengan virus Covid-19, dilindungi hanya sekeping plastik biru.
"Apakah perasaan anak-anak mereka, ibu bapa mereka? Mereka juga adalah anak, ibu dan bapa juga.''
Menutup bicaranya, Chong Wei menyeru orang ramai terus memberi sokongan kepada petugas barisan hadapan negara.
Sumber:https://www.hmetro.com.my
|
|