|
Penularan pandemik COVID-19 sejak lebih setahun lalu menyebabkan karier muzik Aiman Tino terbantut.
Baru berniat melancarkan single baharu, bulan ini, penutupan penuh sektor sosial dan ekonomi atau 'total lockdown' fasa pertama yang dilaksanakan di seluruh negara sehingga 14 Jun ini, menyebabkan projek itu terpaksa ditangguhkan.
Kredit foto: IG
Sehubungan itu, Aiman atau nama penuh, Muhammad Aiman Yusri, 23, terpaksa menunggu masa sesuai untuk melancarkan single ciptaan Ikhwan Fattana itu.
"Sudah setahun saya tidak ada lagu baharu. Boleh dikatakan hampir setiap hari saya menerima mesej langsung (DM) daripada peminat yang bertanyakan mengenai single baharu.
"Kali terakhir saya muncul dengan single berjudul Dendam Simpati, awal tahun lalu," katanya kepada BH Online.
"Saya ada ada menerima beberapa lagu daripada komposer lain. Namun, akhirnya kami memilih lagu ciptaan Ikhwan," katanya.
Aiman berkata, sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama dilaksanakan tahun lalu, kerjaya nyanyiannya terjejas.
"Tetapi sebagai artis, kita tidak boleh duduk diam. Kita perlu memikirkan strategi untuk memastikan kerjaya terus bertahan," katanya yang merancang melancarkan single dan video klip single terbaharu, serentak.
Aiman yang popular dengan lagu Ku Rela Dibenci kira-kira lima tahun lalu, mahu mengadakan persembahan secara virtual bagi mengeratkan hubungan dengan peminat.
"Kita perlu memikirkan strategi lain untuk menghiburkan peminat dan memastikan survival dalam industri seni.
"Biarpun peminat nampak kehadiran saya dalam bidang lakonan, namun, minat saya kepada dunia nyanyian tidak pernah pudar.
"Namun, berikutan tidak banyak aktiviti boleh dilakukan dalam bidang muzik, apabila mendapat peluang berlakon, saya tidak boleh melepaskannya.
"Saya bersyukur ada produser yang memanggil saya berlakon. Saya anggap tawaran itu sebagai bonus," katanya.
Aiman berkata, selepas drama Kampung Kolestrol, dia sepatutnya memulakan penggambaran sebuah drama lain, namun, tertangguh akibat PKP. -CARI
Sumber: Harian Metro
|
|