CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 2321|Reply: 1

SIRI MISTERI: Jin dan alam ghaib

[Copy link]
Post time 12-6-2021 08:19 PM | Show all posts |Read mode
SIRI MISTERI: Jin dan alam ghaib


RAWATAN mistik. Gambar hiasan.


PERIHAL gangguan atau penyakit mistik sememangnya amat membimbangkan manusia kerana ia membabitkan serangan daripada makhluk alam ghaib yang tidak dapat dilihat manusia.

Lebih membimbangkan ialah serangan makhluk halus terbabit menyebabkan berlaku kecederaan, kesakitan dan gangguan yang tidak dapat dikesan atau dirawat melalui perubatan moden termasuk menggunakan ubatan atau rawatan hospital.

Bagaimanapun, berlaku gangguan dan penyakit mistik ini membuktikan bahawa di sebalik alam manusia yang amat nyata, wujud alam ghaib yang berpenghuni, malah mampu memberi kesan terhadap kehidupan manusia.

Pengasas Pusat Rawatan Islam Ashabul Yamin, Mohammad Shahrizal Husain, berkata kewujudan makhluk ghaib iaitu jin pada alam yang sama dengan manusia sememangnya tidak dapat dinafikan.

Malah, golongan jin turut pernah berjumpa Nabi Muhammad SAW meminta Baginda SAW mengajarkan mereka mengenai Islam seperti firman Allah SWT menerusi surah AlAhqaf, ayat ke-29 yang bermaksud: "Dan (ingatkanlah peristiwa) ketika Kami menghalakan satu rombongan jin datang kepadamu (wahai Muhammad) untuk mendengar al-Quran; setelah mereka menghadiri bacaannya, berkatalah (setengahnya kepada yang lain): 'Diamlah kamu dengan sebulat-bulat ingatan untuk mendengarnya!' Kemudian setelah selesai bacaan itu, kembalilah mereka kepada kaumnya (menyiarkan ajaran al-Quran itu dengan) memberi peringatan dan amaran."

Memudaratkan manusia

Beliau berkata, berbeza dengan kejadian manusia, hakikat jin terdiri daripada unsur halus menyebabkan ia boleh meresap masuk ke dalam tubuh manusia melalui anggota badan untuk menyerang atau memudaratkan manusia.

"Serangan jin menyebabkan penyakit atau gangguan kepada manusia kerana berlakunya kemasukan roh lain dalam tubuh manusia sehingga berlaku pertembungan antara dua roh dalam satu jasad. Keadaan ini ditakrifkan oleh ahli psikologi sebagai penyakit kerasukan.

Penyakit ini berbeza dengan penyakit zahir yang berpunca daripada kesan pemakanan atau virus yang menjangkiti tubuh seseorang serta boleh dirawat di klinik atau hospital," katanya.

Mohammad Shahrizal berkata, apabila jin masuk ke dalam tubuh manusia, tempat utama yang dituju ialah otak kerana jin dapat mengawal manusia dan mewujudkan rasa sakit ke seluruh anggota badan mangsa secara silih berganti.

"Bagaimanapun, gangguan jin ini boleh dirawat menggunakan kaedah rawatan menggunakan ayat suci al-Quran, zikrullah atau pun doa yang diajar Rasulullah SAW," katanya.

Beliau berkata, antara sebab berlaku serangan dan gangguan jin terhadap manusia ialah sikap jin yang sentiasa dengki kepada manusia, sikap manusia takbur dan lalai mengingati Allah SWT, selain manusia mengamalkan ilmu khurafat, ajaran songsang dan amalan yang bertentangan dengan syariat Islam.

Jatuh cinta pada manusia

"Ada juga gangguan berlaku disebabkan jin suka atau jatuh cinta kepada manusia, selain jin saka diwarisi secara sedar atau tidak melalui keturunan, ilmu yang dipelajari atau dengan memiliki senjata lama. Gangguan atau serangan jin terhadap manusia juga boleh berlaku apabila manusia secara tidak sengaja menzalimi jin seperti mencurah air panas kepada mereka atau membuang najis di rumah jin kerana manusia tidak boleh melihat jin," katanya.

Selain gangguan atas kehendak jin itu sendiri, terdapat juga gangguan atau serangan yang berlaku disebabkan jin itu diarahkan manusia dan dikenali sebagai sihir.

"Sihir boleh terjadi apabila berlakunya perjanjian dan persetujuan antara tukang sihir dan jin. Jin itu kemudian diarah supaya melaksanakan suruhan tukang sihir untuk mendatangkan mudarat kepada si pesakit. Ada beberapa jenis sihir antaranya pemisah, pengasih, khayalan atau pukau, makan atau santau, gila, kera sumbang, pendarahan, bisikan, sakit anggota badan atau sihir menghalang perkahwinan," katanya.

Tanda seseorang itu terkena gangguan jin antaranya semakin jauh daripada Allah SWT, sentiasa was-was dalam akidah dan ibadah, selalu lupa, khayal dan malas yang luar biasa, sering menangis tanpa sebab, suka muzik melalaikan, selalu sakit kepala, dada, tulang belakang dan sendi, terasa berat di bahu atau kepala dan terdapat kesan lebam ketika bangun tidur.

Pesakit juga selalu terasa seperti ada 'sesuatu' sering mengikut atau melihatnya, terdengar bisikan atau suara ghaib dan kerap bermimpi pelik seperti mimpi haiwan, tempat ibadat agama lain, kanak-kanak kecil, tempat kotor atau tanah perkuburan.

"Pesakit juga bermimpi ada seseorang ingin membunuhnya, mimpi jatuh dari tempat tinggi, jatuh dalam air atau api, berjalan atau bercakap ketika tidur atau berasa ditindih makhluk aneh ketika tidur," katanya.

Sakit itu ujian daripada Allah

Shahrizal berkata, tanda gangguan sihir pula antaranya terdapat kesan lebam dan gigitan di badan, tidak mampu bangun untuk menjalankan aktiviti harian, hilang keyakinan diri, wujud gangguan ketika beribadah, hubungan keluarga tiba-tiba dingin serta premis perniagaan tiada pelanggan.

"Sesungguhnya sakit itu adalah satu daripada ujian Allah SWT untuk menguji hamba-Nya; siapa daripada kalangan mereka yang sabar dan kufur namun Allah Maha Adil kerana di samping penyakit, diturunkan juga penawar dan penyembuhnya," katanya.

Beliau berkata, tiada keraguan lagi bahawa ayat suci al-Quran ialah penyembuh utama segala penyakit bagi umat Islam seperti firman Allah SWT menerusi ayat ke-82, surah al-Israk: "Dan Kami turunkan dengan beransur-ansur daripada al-Quran ayat suci yang menjadi ubat penawar dan rahmat bagi orang yang beriman kepadanya; dan (sebaliknya) al-Quran tidak menambahkan orang yang zalim (disebabkan keingkaran mereka) melainkan kerugian jua."

Sumber:https://www.bharian.com.my

Reply

Use magic Report


ADVERTISEMENT


Post time 13-6-2021 11:18 PM From the mobile phone | Show all posts
Penyakit 'Ain' lagi la misteri!
Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

2-5-2024 09:03 PM GMT+8 , Processed in 0.059554 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list