|
Jemson kongsi DKD Muzik dengan penggiat seni
Oleh Fatin Farhana Ariffin - Jun 20, 2021 @ 3:00pm
[email protected]
Jemson mewakili Malaysia pada Music Lane Festival Okinawa, Jepun yang disiarkan secara langsung di atas talian, awal tahun ini. Foto IG Jemson
KUALA LUMPUR: Ditubuhkan pada 2019, kumpulan Jemson bersyukur menjadi antara penerima Dana Kandungan Digital (DKD) Muzik bagi membiayai projek album sulung mereka
Salah seorang anggota band itu, Myo atau nama sebenar, Mior Luqman Hakim Mior Mohd Zain berkata, album sulung berjudul Jemson The Album disiapkan pada kos kira-kira RM30,000 menggunakan dana berkenaan.
"Kami memanfaatkan dana ini melalui kerjasama dengan penggerak seni belakang tabir, menyewa studio rakaman, mengupah jurutera 'mixing' dan 'mastering'.
"Kami juga mendapatkan khidmat jurugambar, membiayai pembikinan video muzik single Lu Power, membayar pereka album dan banyak lagi.
"Bagi kami, dana ini bukan untuk band ini, sebaliknya untuk disalurkan kepada semua penggiat seni yang menerima kesan pandemik COVID-19 demi merealisasikan Jemson The Album.
Jemson memanfaatkan DKD Muzik dengan menerbitkan album sulung, Jemson The Album dan berkongsi dengan penggiat seni lain yang terbabit dalam proses pembikinannya. Foto IG Jemson
"Ibaratnya, kita ada nasi satu periuk, apa salahnya berkongsi? Bukankah lebih afdal untuk bantu-membantu sesama kita?" katanya kepada BH Online.
Myo bersyukur album sulung mereka terjual hampir 1,000 unit dalam tempoh sebulan dengan 300 unit terjual pada hari pertama pelancaran dalam media sosial Jemson.
"Bagi kami, ini adalah pencapaian membanggakan. Apatah lagi, tahun ini, banyak platform penstriman atas talian percuma.
"Kami tidak sangka masih ramai yang memberi sokongan walaupun jarang kita dengar lagu rock dimainkan di radio tempatan," katanya.
Album sulung itu memuatkan 12 lagu termasuk single yang menampilkan penyanyi popular seperti Naim Daniel, Noh Salleh dan Sam Bunkface. Tidak ketinggalan pemuzik seperti AG Coco dan Izo XPDC.
Mengenai pembentukan Jemson, Myo berkata, segala-galanya bermula daripada kerjasama antara dirinya sebagai penyanyi kumpulan Oh Chentaku dan Najmi, pemain gitar kumpulan metal, Incarnation.
"Kami bekerjasama untuk lagu Rock N' Roll Sampai Mati yang diangkat menjadi lagu tema Ride Hensem.
"Ride Hensem adalah program dokumentari jelajah yang diterbitkan saya. Rancangan ini ditayangkan di Hatch TV di mana saya juga bertindak sebagai pengarah dan hos.
"Melihat sambutan baik, saya mencadangkan kepada Najmi untuk menghasilkan EP Balada Cinta Kosmos di bawah band Jemson yang memuatkan lima lagu pada 2019.
"Sejak itu, Jemson dijemput membuat persembahan pembukaan Konsert Loudness Live in Kuala Lumpur. Ini adalah penghargaan besar buat kami yang masih baharu," katanya.
Myo berkata, Jemson pernah membuat persembahan di Swara Sunyi 2020 di Kota Bogor, Indonesia dan Depok di Jakarta, Mac tahun lalu.
Terbaharu, Jemson mewakili Malaysia pada Music Lane Festival Okinawa, Jepun yang disiarkan secara langsung di atas talian, awal tahun ini.
Myo berkata, pandemik COVID-19 yang melanda dunia memberi impak besar buat Jemson.
"Sebagai band 'indie' dan tidak bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman gergasi, kami berusaha dan tawakal.
"Penerbitan album sulung, Mei lalu adalah bagi memberi inspirasi kepada pemuzik muda di negara ini untuk tidak menyerah kalah dan terus berkarya," katanya yang merancang memperkenalkan barangan cenderahati atau 'merchandise' kepada peminat, akhir bulan depan.
|
|