|
'Masuk set, tinggalkan sekejap telefon pintar'
Oleh Fatin Farhana Ariffin - Jun 20, 2021 @ 8:30am
[email protected]
Arash membintangi drama rantaian Scammer yang disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 11 malam di Astro Ria. Foto IG Arash Mohd
KUALA LUMPUR: Dipersoal gagal merangkul trofi biarpun sudah tiga dekad mengabdikan diri dalam dunia seni, Arash Mohd tidak pernah ambil pusing kata-kata orang.
Arash atau nama sebenar, Azman Shah Ramlee, 52, menganggap anugerah bukan kayu pengukur kejayaan penggiat seni.
"Saya ada baca di laman sosial netizen bertanya apakah saya pelakon 'underrated' kerana tidak pernah terima anugerah.
"Saya tidak pernah berkecil hati kerana bagi saya, anugerah ibarat bonus.
"Saya pernah dicalonkan dalam beberapa acara seperti Festival Filem Malaysia (FFM), Drama Festival Kuala Lumpur (DFKL) dan Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH).
Mengalukan kehadiran bakat baharu, Arash berpesan kepada pelakon muda agar menjaga disiplin dan sentiasa bertanya bagi meningkatkan skil. Foto IG Arash Mohd
"Tercalon sehingga Top 5, bagi saya, itu sudah mencukupi kerana hasil kerja dihargai," katanya kepada BH Online.
Arash lebih mengutamakan kepuasan dalam bekerja dan penghargaan penonton terhadap hasil seninya.
"Secara jujur, saya puas dengan apa yang disumbangkan sejak 1991 sehinggalah sekarang," katanya.
Tambah pelakon drama Scammer ini, 30 tahun adalah tempoh panjang dengan pelbagai pengalaman pahit manis dilalui.
"Tiga dekad dalam bidang seni bukan mudah. Banyak pahit dan getir saya lalu dalam aspek tawaran kerja atau 'job', ekonomi negara dan sebagainya... Semua saya sudah dirasai," katanya.
Arash bersyukur apa yang dikecapi sekarang adalah hasil sokongan dan penghargaan peminat.
"Apa sahaja komen yang baik atau tidak, saya terima. Saya belajar daripada komen peminat untuk diperbaiki pada masa akan datang.
"Saya berpegang pada satu perkara sahaja iaitu masih dalam proses pembelajaran. Saya tidak akan 'putus' belajar selagi bernafas," katanya.
Arash mengaku banyak perubahan dilihat dalam industri kreatif sejak tiga dekad lalu dan kemunculan bakat baharu.
Sebagai pelakon yang lebih berpengalaman, dia sentiasa mengalu-alukan kehadiran pelapis.
"Pelakon sekarang tumbuh seperti cendawan. Ada antara mereka bagus dan ada yang perlu belajar lagi.
"Namun, kedatangan mereka dialu-alukan. Saya tidak pernah menghalang mereka. Namun, tolong, kalau boleh jadi lebih bagus daripada Arash Mohd.
"Saya mahu berpesan kepada bakat baharu bahawa mereka sebenarnya bagus. Apa yang penting, pasang tekad untuk mendalami ilmu lakonan dan jaga disiplin.
"Jadi anak seni yang kuat, tahan lasak daripada segi fizikal dan mental. Bidang ini bukanlah untuk popular. Perkara itu akan datang apabila sampai satu tahap.
"Apabila anda bagus, populariti datang secara automatik untuk menaikkan nama anda. Percayalah, Insya-Allah anda akan bertahan lama dalam bidang ini," katanya.
Arash berkata, pendatang baharu juga usah cepat melatah apabila ditegur artis 'senior' dan perlu rajin meminta pandangan orang lain.
"Jangan sibuk dengan media sosial... Itu yang saya kurang gemar dengan pelakon baharu.
"Apabila masuk set penggambaran, tinggal sekejap telefon pintar. Kita sama-sama buat buat latihan. Apabila sudah habis 'shooting', pergilah main telefon, tiada siapa melarang.
"Saya cakap ini bukan bermaksud sebagai pelakon lama, saya pandai. Kita semua tidak pandai. Kita jika rajin belajar, kita semua akan jadi pandai," katanya pada sidang media virtual mempromosikan drama Scammer.
Selain Arash, Scammer dibintangi Fasha Sandha, Kamal Adli, Siti Saleha, Hasnul Rahmat, Jay Iswazir dan ramai lagi.
Scammer disiarkan setiap Isnin hingga Khamis, jam 11 malam di Astro Ria.
|
|