Kartunis yang popular dengan komik Blues Untuk Aku, Aie dilaporkan meninggal dunia pagi tadi.
Menerusi status yang dimuat naik kartunis popular Ujang, Aie, 48 meninggal dunia pada jam 4 pagi tadi akibat komplikasi buah pinggang, di rumahnya Banting, Selangor.
Aie atau nama sebenarnya Shaari Sulong mendapat tempat istimewa di hati para peminatnya dengan komik bersiri Blues Untuk Aku di era 90an.
Foto :
Arwah Aie mula berjinak-jinak dengan bidang lukisan sejak di bangku sekolah dan semakin serius setelah dilantik sebagai editor majalah sekolah ketika di Tingkatan 4 dan 5.
Pada tahun 1993, Aie ditawarkan menjadi animator bagi animasi Usop Sontorian terbitan Kharisma Picture. Dalam masa yang sama, beliau turut dipelawa kartunis Ujang menghasilkan majalah.
Foto : FB
Akhirnya pada Oktober 1993, lahirlah majalah Ujang dengan Aie, Ujang termasuk Gayour menjadi pelopor utamanya. Bersama dengan Ujang, Aie menghasilkan cerita Abe yang menarik perhatian pembaca.
Karya beliau, Blues Untuk Aku yang disiarkan secara bersiri mendapat sambutan paling hangat daripada pembaca.
Abe yang mula disiarkan dalam majalah Ujang keluaran pertama (1 Januari 1994) merupakan cerita hasil karya kartunis Ujang dengan lukisannya oleh Aie. Karya berbentuk drama komedi ini disiarkan sebanyak 33 siri dan berakhir di keluaran ke-37 (15 Ogos 1995) majalah Ujang.
Foto : FB
Takziah untuk keluarga Aie dan moga arwah ditempatkan dalam kalangan yang beriman. Segala khazanahnya akan menjadi kenangan bagi mereka yang pernah membesar bersama Blues Untuk Aku. - CARI
|