|
Seorang lelaki di Sydney, Australia mengambil empat dos suntikan vaksin bagi memastikan dirinya mendapat perlindungan maksimum daripada pandemik Covid-19, lapor portal berita Mail Online semalam.
Tom Lees, 34, menerima dua dos lengkap vaksin AstraZeneca dan Pfizer meskipun tidak bekerja dalam barisan hadapan di negara itu.
Menurut syarat yang ditetapkan setakat ini, vaksin Pfizer hanya diberikan kepada rakyat Australia berumur 40 tahun dan ke atas atau pekerja sektor kritikal seperti hotel kuarantin, manakala AstraZeneca ditawarkan kepada orang awam lain.
“Jika varian Delta ingin menguji kekuatannya, ia perlu datang ke kawasan Greater Sydney.
“Ini mungkin merupakan karya seni terhebat yang pernah berlaku ketika pandemik ini. Kemenangan seorang lelaki yang bebas daripada birokrasi,” tulis Lees pada satu hantaran di Twitter yang turut memaparkan gambar sijil-sijil vaksinasinya.
Lelaki itu mula mendapatkan dos pertama AstraZeneca pada 31 Mac lepas dan selepas melengkapkan dos keduanya, dia mendapatkan pula suntikan dos pertama dan kedua vaksin Pfizer.
“Saya tidak memotong giliran dan saya tidak mencuri sebarang vaksin.
“Sebaliknya saya beratur dalam barisan untuk mencuba nasib bagi mendapatkan suntikan vaksin.
“Apa yang perlu dilakukan adalah memberi perhatian kepada lokasi-lokasi pusat vaksinasi atau klinik-klinik perubatan am, pergi ke sana dan minta untuk divaksin,” katanya.
Kajian untuk menguji keberkesanan vaksin berganda masih di peringkat awal.
Kajian Universiti Oxford mengenai campuran satu dos vaksin AstraZeneca dan satu dos vaksin Pfizer menunjukkan keputusan memberangsangkan.
Sumber: Kosmo! |
|