CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 1358|Reply: 0

Hadis palsu tidak bererti amalannya palsu?

[Copy link]
Post time 22-7-2021 11:28 PM | Show all posts |Read mode
Hadis palsu tidak bererti amalannya palsu?


FOTO HIASAN

BAHAGIAN PERTAMA

Kesedaran masyarakat terhadap agama dan cabang ilmunya kelihatan menunjukkan peningkatan. Namun seiring peningkatan ini ada kelihatan kemerosotan pada kadar toleransi sebahagian umat Islam terhadap pembawaan dan amalan umat Islam yang berbeza berpunca daripada kegagalan memahami dengan baik ilmu serta maklumat yang mula meningkat.

Peningkatan kesedaran dan ilmu agama adalah suatu perkembangan yang baik, oleh itu wajar diteruskan. Namun gejala gagal faham perlu ditangani supaya intoleran dapat dikekang daripada berkembang, dibimbangi akhirnya bertukar menjadi ekstremisme agama.

Kalau dahulu, kesedaran dan maklumat umat Islam banyak berkisar pada hukum hakam, halal haram, wajib sunat dan seumpamanya, tetapi sekarang kesedaran dan maklumat umat meningkat kepada ilmu hadis serta tafsir, bahkan kepada perbincangan masalah akidah yang tinggi dan rumit.

Dalam ilmu hadis, umat Islam bukan lagi berada pada takuk mengetahui apakah isi kandungan hadis Nabi dan pengajarannya atau hukum yang dibina di atasnya bahkan sudah meningkat ke tahap ingin mengetahui status sesuatu hadis, adakah sahih, daif, palsu dan sebagainya. Ketika ini peningkatan yang baik, gejala gagal faham di dalam cabang ilmu ini berpotensi membenihkan insan tidak toleran yang bakal bercambah menjadi insan yang cenderung bertindak ekstrem terhadap orang lain.

Keghairahan mengetahui status hadis tanpa disirami dengan baja kefahaman jelas boleh merosakkan. Kebingitan yang tidak perlu ketika usaha memberi kefahaman ini dilakukan perlu dielakkan supaya kebaikan peningkatan ilmu tidak terhalang. Suatu masa, masyarakat sudah boleh faham dengan tenang apa yang dimaksudkan bahawa hadis palsu tidak bererti amalannya palsu. Bahkan, lebih daripada itu mereka nanti boleh mengerti dengan tenang apa yang dimaksudkan dengan kenyataan hadis palsu tidak bererti hadis palsu! Seterusnya, mereka nanti akan faham dengan baik apa yang dimaksudkan hadis sahih tidak bererti amalannya sahih dan tidak melompat mendengar bahawa hadis sahih tidak bererti hadis sahih!

Sebelum itu, masyarakat Islam perlu difahamkan sentiasa mengenai objektif dan asas ilmu berkaitan status hadis seiring peningkatan pengetahuan mereka mengenai status hadis itu sendiri.

Objektif umum ilmu berkaitan status hadis adalah untuk membolehkan umat Islam benar-benar beramal dengan perintah Allah dan Rasul sebagaimana terkandung di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Oleh itu, bagaimana kita tahu dan pasti yang dikatakan al-Quran itu al-Quran? Sedangkan wahyu bukan turun kepada kita? Bagaimana kita tahu yang dikatakan hadis itu hadis, sedangkan bukan telinga kita yang mendengar tutur kata Nabi dan bukan mata kita yang melihat gerak laku Nabi SAW? Jawapannya adalah melalui perkhabaran (biasanya disebut riwayat) orang kepada kita.

Jalur perkhabaran ini memberikan kesan kepada tahap keyakinan kita terhadap kebenaran perkhabaran dan penisbahan khabar itu sendiri. Al-Quran semuanya sampai kepada kita melalui jalur perkhabaran mutawatir iaitu melalui jalur perkhabaran yang banyak sekira-kira mustahil seramai itu tersilap atau terlupa atau berbohong. Maka status keyakinan kita bahawa al-Quran yang sampai kepada kita adalah daripada Nabi Muhammad SAW adalah yakin, tidak ada keraguan. Berbeza halnya dengan hadis. Tidak semua hadis perkhabarannya sampai secara mutawatir, banyak sekali hadis yang jalurnya tidak mutawatir, disebut sebagai periwayatan ahad. Berbeza dengan periwayatan mutawatir, periwayatan secara ahad tidak sampai ke tahap yakin ia daripada Nabi, ia masih di tahap sangkaan (disebut zhonni).

Nah! Di sini lah objektif khusus daripada ilmu berkaitan status hadis iaitu untuk menilai setahap mana kemungkinan sesuatu riwayat yang dikatakan daripada Nabi, memang daripada Nabi SAW. Secara ringkas, pakar di dalam bidang ini akan menilai kualiti periwayat hadis (biasanya dipanggil perawi, dari segi ingatan, kebolehpercayaan dan seumpamanya) dan juga melihat bersambung atau terputus mata rantai periwayatan (biasanya disebut sanad).

Secara sangat asas, apabila kualiti perawinya bagus dan sanadnya tidak terputus maka dirumuskan kemungkinan besar hadis berkenaan memang daripada Nabi SAW. Ya, memang tidak yakin, tetapi kemungkinan besar. Hadis sebeginilah yang diistilahkan sebagai hadis sahih. Sebaliknya, apabila kualiti perawi ada masalah, katakan sering lupa, atau sering tersilap, atau sanadnya terputus di mana-mana maka hadis ini dirumuskan sebagai tidak sahih atau disebut daif.

Penting diingatkan di sini, istilah 'tidak sahih' bukan bererti hadis ini 'tidak betul' sebagaimana yang disangkakan oleh sebahagian ahli masyarakat. 'Tidak sahih' di sini hanya bermakna hadis itu tidak memenuhi syarat hadis sahih seperti ditetapkan oleh penilai hadis berkenaan. Dengan erti kata lain, kemungkinan hadis daif ini daripada Nabi SAW tidak setinggi kemungkinan hadis sahih. Maka di sini perlu difahami persamaan dan perbezaan antara hadis sahih serta daif.

Persamaan antara hadis sahih dan daif adalah sama-sama tidak mencapai tahap yakin seperti hadis mutawatir. Perbezaan antara hadis sahih dan daif pula adalah kemungkinan hadis sahih itu daripada Nabi adalah tinggi, sementara kemungkinan hadis daif itu daripada Nabi SAW adalah tidak setinggi hadis sahih. Perbezaan ini membawa kepada perbezaan, secara praktikal, kepada skop aplikasi hadis sahih dan hadis daif masing-masing.

Bertitik tolak dari latar belakang yang dijelaskan tadi, maka oleh kerana kemungkinan hadis sahih itu daripada Nabi SAW adalah tinggi, maka fuqaha (ahli fiqah) yang berperanan mengenal pasti hukum syarak berasa cukup selesa menjadikannya sebagai sandaran hukum. Tidak demikian halnya dengan hadis daif. Oleh kerana kemungkinan ia daripada Nabi tidak setinggi seperti di dalam hadis sahih, maka ramai fuqaha tidak selesa menjadikannya sebagai sandaran hukum, tetapi hanya selesa mengambil kira hadis daif ini di dalam skop lain seperti kelebihan (fadilat) beramal, menggalakkan beramal atau menggerunkan melakukan maksiat dan seumpamanya yang tidak membabitkan penetapan hukum halal haram halal serta sah atau batal.

Hal menjadi lebih berbeza lagi apabila masalah pada kualiti perawi sangat parah seperti perawi dinilai pendusta atau tertuduh berdusta atau pemalsu hadis, maka penilai hadis merumuskan bahawa penisbahan hadis itu kepada Nabi SAW tidak mungkin. Oleh itu, ia tidak akan dijadikan sandaran walaupun untuk fadilat beramal, walaupun sekadar untuk menggemarkan atau menggerunkan, apatah lagi kalau sampai dijadikan asas penetapan hukum haram dan halal, sah dan batal! Bahkan adalah haram dan berdosa besar dengan sengaja menisbahkan hadis palsu itu kepada Nabi SAW, pelakunya wajib bertaubat dan berhenti daripada perbuatan terlarang itu.

Selesai secara ringkas menerangkan objektif umum dan khusus ilmu hadis serta kesan praktikalnya kepada pegangan fuqaha, sekarang kita pergi kepada asas ilmu berkaitan status hadis.

Apakah asas ilmu berkaitan status hadis? Jawapannya adalah ijtihad pakar penilai hadis. Bagaimana asas ini memberi kesan kepada apa yang disebut 'hadis palsu tidak bererti hadis palsu' dan 'hadis sahih tidak bererti hadis sahih' dan bagaimana interaksi ilmu status hadis ini dengan cabang ilmu yang lain, khususnya ilmu usul fiqh menatijahkan apa yang dikatakan 'hadis palsu tidak bererti amalannya palsu' dan 'hadis sahih tidak bererti amalannya sahih' akan diperjelaskan dalam bahagian kedua. Insya-Allah.

Penulis Ahli Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Negeri Pahang

Sumber:https://www.hmetro.com.my

Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

19-4-2024 07:29 PM GMT+8 , Processed in 0.088845 second(s), 27 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list