CARI Infonet

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 991|Reply: 0

Kuarantin pelakon, kru sepanjang 'shooting'

[Copy link]
Post time 28-7-2021 05:48 PM | Show all posts |Read mode
Kuarantin pelakon, kru sepanjang 'shooting'


Erma Fatima berpendapat kebenaran diberi kepada syarikat produksi menyambung kerja penggambaran di luar studio di bawah Fasa Kedua PPN ibarat ‘melepaskan batok di tangga’. - Foto NSTP

KUALA LUMPUR: Punya pandangan tersendiri mengenai syarat dikenakan ke atas syarikat produksi yang dibenarkan menyambung kerja penggambaran termasuk pelakon dan kru diwajibkan melengkapkan dua dos vaksin COVID-19, sutradara, Erma Fatima tampil dengan idea yang difikirkan boleh membantu petugas dan karyawan meneruskan kerja seni dalam era pandemik.

Erma berkata, kaedah mengumpulkan artis dan kru yang terbabit dalam projek produksi di sebuah tempat mungkin boleh dilaksanakan bagi mengelak kemungkinan berlakunya penularan COVID-19 dalam sektor kreatif.

"Apa yang boleh dilakukan mungkin mengumpulkan artis dan kru di sebuah tempat seperti pusat kuarantin sehinggalah penggambaran berakhir.

"Sepanjang 'shooting', mereka dilarang pulang ke rumah atau pergi ke tempat lain... Ini bagi melindungi dan mencegah penularan wabak COVID-19 dalam kalangan pekerja seni," katanya kepada BH Online.

Sebaik pengumuman mengenai kebenaran meneruskan kerja penggambaran di luar studio di bawah Fasa Kedua Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibuat, syarikat produksi terutama yang mempunyai produk tertangguh atau siap 'separuh jalan' menyambut baik keputusan itu selepas lama menanti.

Bagaimanapun, peraturan yang mewajibkan semua pekerja termasuk artis dan kru melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19 sebagai syarat untuk kembali ke lokasi dilihat menyukarkan.

Syarikat produksi menganggap syarat itu kurang praktikal kerana masih ramai penggerak industri gagal mendapat slot janji temu suntikan vaksin COVID-19 atau jika ada pun, hanya mendapatkan dos pertama.

Bagaimanapun, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah dilaporkan berkata, syarat mewajibkan artis, petugas dan kru produksi mendapatkan dua dos vaksin COVID-19 sebelum memulakan kerja penggambaran di luar studio, kekal.

Erma yang sudah lebih tiga dekad berkecimpung dalam dunia seni menganggap syarat dikenakan ke atas syarikat produksi yang mahu menyambung kerja penggambaran menyusahkan dan boleh melumpuhkan industri kreatif, apatah lagi penggiat seni sudah lebih dua bulan tidak bekerja.

"Ramai kru tidak boleh bekerja hingga ada yang dihalau dari rumah sewa kerana tidak mampu membayar sewa.

"Pekerja belakang tabir hidup ibarat 'kais pagi, makan pagi' dengan bayaran tidak seberapa yang dibelanjakan untuk semua perkara termasuk susu anak.

"Jadi, saya memohon kerajaan tolong ambil kira komuniti seni. Syarat yang dikeluarkan kepada syarikat produksi diibarat 'bagi dalam keadaan tak bagi'," katanya.

Erma menambah, kebenaran diberi kepada syarikat produksi untuk menyambung kerja penggambaran di luar studio di bawah Fasa Kedua PPN diibarat 'melepaskan batok di tangga'.


Sumber: youtube

"Saya tidak meminta banyak... Berilah sedikit kelonggaran.

"Jika kerajaan boleh memberi kebenaran kepada kilang dengan ribuan pekerja untuk beroperasi, kenapa kami (syarikat produksi) dengan tenaga kerja paling ramai 30 orang dan tiada kluster, dihukum sebegitu sekali?

"Kita bukan meminta pelepasan besar. Malah, sebelum ini, kami sangat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dikeluarkan.

"Kami kurangkan tenaga kerja. Kru yang tidak penting dilarang duduk dalam set. Kami sediakan khemah di luar set.

"Kami ambil suhu, sediakan alat pembasmi kuman dan lain-lain. Tetapi kenapa syarat yang dikenakan pada kami sangat ketat?" katanya.

Erma turut mempersoalkan syarat penjarakan lokasi penggambaran dengan kawasan penempatan yang disifatkan tidak masuk akal.

"Di mana kami mahu 'shooting'? Takkan nak buat cerita dalam hutan? Jangan samakan komuniti seni dengan kilang. Mereka faham atau tidak mengenai industri seni, macam mana cara kami bekerja?

"Takkanlah kami hendak hambat orang awam yang datang ke set untuk melihat kami bekerja?

"Kita bukan seperti Hollywood, kita tidak ada studio dan tidak semua produksi mampu melakukan penggambaran dalam studio. Bagi saya garis panduan itu hanya akan melumpuhkan industri," katanya.

Mengenai syarat vaksin COVID-19, Erma berpendapat, vaksin tidak boleh diberi secara paksaan kerana setiap individu mempunyai hak untuk memilih.

"Apa yang lebih penting adalah mewajibkan ujian calitan kepada syarikat produksi sebelum memulakan penggambaran," katanya.

Sementara itu, Erma bakal bakal muncul dengan drama terbaharu arahannya, Lockdown di Astro Ria setiap Isnin hingga Khamis jam 11 malam.

Drama itu menampilkan nama besar seperti Zara Zya, Beto Kusyairy, Nabila Huda, Fahrin Ahmad, Sara Ali, Izzue Islam, Kaka Azraff, Syafiq Kyle, Mimi Lana, Jalil Hamid, Liza Abdullah dan Amerul Affendi.

Lockdown berkisar kerenah masyarakat sepanjang pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sumber:https://www.bharian.com.my

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CARI Infonet

19-4-2024 05:44 AM GMT+8 , Processed in 0.060379 second(s), 26 queries .

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list